suria

Usaha Pindahkan 1,000 Pelajar Malaysia Dari Iskandariah Ke Jeddah Hari Ini

PETALING JAYA: Kira-kira 1,000 pelajar Malaysia yang masih terkandas di Iskandariah akan dipindahkan ke Jeddah menerusi operasi pemindahan yang dijangka selesai pada Ahad.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail berkata, keadaan tersebut disebabkan bilangan pelajar Malaysia yang terlalu padat di asrama milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bandar itu.

“Kapasiti di asrama Mara hanya dapat menampung 250 orang namun jumlahnya kini empat kali ganda iaitu mencecah kira-kira 1,000 pelajar. Kepadatan ini berikutan apabila semuanya sudah berkumpul terutama pelajar dari Universiti Mansoura.

“Kita akan memastikan bekalan makanan dan minuman dapat disalurkan kepada semua pelajar berkenaan dalam tempoh pemindahan mereka keluar ke Jeddah. Kita percaya bekalan ini mencukupi,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Ahad.

Shahlan yang ketika ini dalam penerbangan dari Jeddah ke Iskandariah dengan menaiki pesawat AirAsia berkata, setakat ini terdapat dua pesawat yang akan digunakan untuk memindahkan pelajar terbabit di Iskandariah menerusi pesawat AirAsia dan Hercules C-130 milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Bagaimanapun katanya, usaha-usaha sedang dibuat untuk mendapatkan pesawat tambahan daripada Hercules C-130 bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar.

“Kita juga akan berbincang dengan pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah mengenai urusan pemindahan kerana ia melibatkan kebenaran pendaratan daripada pihak berkuasa di sini.

“Jika kita dapat menggunakan tiga pesawat ini, dianggarkan sebanyak dua penerbangan akan dilakukan oleh setiap pesawat bagi memindahkan semua pelajar ke Jeddah,” katanya.

Beliau menambah, sebarang perancangan akan diputuskan setibanya di Iskandariah kira-kira dua jam lagi dan pada masa ini pukul 10 pagi (4 petang waktu Malaysia).

“Kita juga akan berbincang untuk menggunakan tiga pesawat di Iskandariah bagi menumpukan pula operasi memindahkan pelajar Malaysia di Kaherah ke Jeddah.

“Belum dapat dipastikan baki pelajar Malaysia yang masih berada di Kaherah kerana terdapat masalah komunikasi. Kita akan cuba mendapatkan butiran lengkap mengenainya apabila tiba di Iskandariah.

"Kita akan pastikan usaha memindahkan baki pelajar Malaysia di Kaherah ke Jeddah turut berjalan lancar,” kata Shahlan.

Pemindahan keluar pelajar Malaysia dari Kaherah selama empat sejak Khamis berikutan pergolakan yang berlaku di Mesir apabila berjuta-juta penunjuk perasaan mendesak Presiden Hosni Mubarak agar meletakkan jawatan yang dipegangnya lebih 30 tahun itu dengan segera.

Artikel Lain