suria

Kerajaan Negeri Sedang Mengesan Kedudukan 133 Pelajar Kedah Di Mesir

ALOR SETAR: Seramai 133 pelajar dari Kedah yang menuntut di Mesir ketika ini tidak diketahui kedudukan mereka sama ada sudah pulang ke Malaysia atau masih berada di negara itu atau di negara lain, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul pada Ahad.

"Pelajar yang tidak diketahui status mereka itu, diminta melaporkan kepada Kedutaan Malaysia mahupun Yayasan Negeri atau jabatan agama yang menaja mereka sama ada mereka sudah pulang ke negara ini atau bekerja di negara lain pada cuti semester ini," katanya pada sidang media di Yayasan Islam Negeri Kedah di sini.

Menurut beliau jumlah pelajar Kedah yang menuntut di Mesir adalah 1,016 orang - 574 lelaki dan 442 perempuan.

"Daripada jumlah itu hanya 866 pelajar kita di bawah tajaan Yayasan Islam Negeri Kedah, Jabatan Agama Islam Kedah dan persendirian akan dibawa pulang ke negara ini manakala 17 pelajar yang kini berada di Iskandariah enggan pulang manakala 133 lagi tidak diketahui status mereka.

Katanya, ada pelajar yang enggan pulang disebabkan masalah kos pengangkutan yang akan ditanggung mereka sendiri untuk ke sana semula selepas pergolakan di Mesir sekarang tamat.

Ada juga yang tidak mahu menangguhkan sesi pelajaran kerana mereka ada dalam kelas pemulihan, kata beliau.

"Selain itu pelajar-pelajar kita juga melaporkan tempat tinggal mereka selamat daripada pergolakan yang berlaku dan mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

"Kita juga menghantar empat pegawai dari Yayasan Islam Negeri bagi memantau keadaan pelajar kita di sana dan menjaga tiga asrama milik negeri yang berada di Kaherah," katanya.

Mohamed Taulan berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM100,000 untuk pelajar negeri ini di Mesir bagi membolehkan mereka mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan lain.

"Peruntukan ini diberikan kepada empat pegawai Yayasan Islam Negeri yang pergi ke sana untuk disalurkan kepada mereka (pelajar) sekiranya mereka memerlukannya," katanya.

Katanya setakat ini seramai 731 pelajar negeri ini sudah berada di Jeddah, Arab Saudi dan menunggu masa untuk dibawa pulang ke Malaysia secara berperingkat dan 155 baki pelajar di Kaherah akan diterbangkan ke Jeddah hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah Abdul Rahman Ismail berkata ibu bapa pelajar di bawah tajaan yayasan itu dan jabatan agama negeri tidak perlu risau keselamatan anak mereka kerana mereka dilaporkan selamat dan sudah berada di Jeddah menunggu masa untuk pulang ke tanah air.

"Bagi ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai status anak mereka boleh menghubungi talian yayasan 04-7302703 yang beroperasi 24 jam," kata Abdul Rahman. -BERNAMA

Artikel Lain