suria

Ketua Polis Negara Puji Anggota Kawal Pilihan Raya Tenang

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memuji kecekapan kesemua anggota dan pegawai Polis DiRaja Malaysia yang bertugas sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang berakhir pada Ahad.

Beliau berkata, pengalaman mengendalikan pilihan raya sangat mencabar bagi mereka dan agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela, Tentera, Bomba berikutan banjir dan hujan lebat berterusan.

"Banjir berlaku selain hujan lebat semalam ketika orang ramai keluar mengundi. Antara yang mencabar adalah usaha membawa peti undi ke pusat pengiraan dalam cuaca yang tidak menentu itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, Isnin.

Pada pilihan raya itu, Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN Tenang selepas calonnya Mohd Azahar Ibrahim mengalahkan calon PAS Normala Sudirman dengan majoriti 3,707 undi.

Ismail berkata, tugas polis adalah membantu melancarkan perjalanan proses pengundian, pengiraan undi dan kawalan keselamatan ketika pilihan raya.

"Tahniah dan syabas kepada anggota yang bertungkus lumus bekerja di pilihan raya itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain