suria

Pemuda Pas Perak Puji Langkah Kerajaan Negeri Perkenal Dinar Emas

IPOH: Dewan Pemuda Pas Perak memuji usaha kerajaan negeri memperkenalkan dinar emas dan dirham perak menyifatkan ia satu langkah proaktif dan bertepatan untuk mengukuhkan kewangan rakyat.

Naib Ketuanya Salman Saleh berkata rakyat juga perlu menilai kepentingan dinar emas dan dirham perak ini sebagai satu simpanan yang amat berguna pada masa depan.

"Rakyat juga perlu menilai bahawa kukuhnya dinar emas ini akan memberikan keuntungan besar kerana kedudukan dinar emas ini adalah terlindung," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau berkata Dewan Pemuda Pas Perak akan memastikan usaha kerajaan negeri itu tidak sia-sia dan perlu diperluaskan dengan pelbagai usaha penerangan supaya dapat memberikan keyakinan kepada rakyat.

Rakyat juga perlu mengetahui bahawa dinar emas dan dirham perak merupakan satu alternatif bagi menjamin sistem kewangan masa depan yang terbaik, katanya.

Pada Rabu lepas, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata dinar emas dan dirham perak yang akan diperkenalkan kerajaan negeri Perak akhir bulan depan adalah merupakan instrumen pelaburan dan simpanan.

Beliau menegaskan dinar dan dirham itu tidak boleh digunakan dalam urusan jual beli harian.

Katanya langkah memperkenalkan dinar emas dan dirham perak itu dibuat kerajaan negeri memandangkan orang ramai pada masa sekarang lebih cenderung menyimpan emas berikutan nilainya yang sentiasa meningkat.

Selain itu dinar emas dan dirham perak itu adalah berbeza dengan mata wang kerana nilai mata wang boleh jatuh bila-bila masa serta boleh mendatangkan kerugian kepada penyimpan. - BERNAMA

Artikel Lain