suria

Diperintahkan Berada Di Rumah Sebelum 8 Malam Untuk Tempoh Setahun

KUALA LUMPUR: Seorang bekas juruwang sebuah kedai internet diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini supaya berada di rumahnya sebelum pukul 8 malam setiap hari untuk tempoh setahun sebagai syarat bon berkelakuan baik setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah wang tunai RM1,354 milik majikannya.

Hakim S. M. Komathy Suppiah mengingatkan Chang Yee Soon, 21, dari Slim River, sekiranya dia melanggari bon tanpa cagaran RM10,000 selama tempoh tiga tahun dan jika ditangkap oleh polis untuk sebarang kesalahan jenayah, dia akan dipenjarakan.

"Kamu nampak emak kamu menangis bukan? Saya hendak awak balik rumah sebelum pukul 8 malam setiap hari untuk satu tahun dan pegawai penyiasat akan periksa. Kamu tak boleh balik selepas pukul 10 malam selepas ini," tegas Komathy kepada Chang.

Sebelum itu, Komathy bertanyakan ibu Chang, pukul berapa anaknya pulang ke rumah setiap hari, dan Lim Bee Choo menjawab anaknya itu balik ke rumah pukul 10 malam.

Sebelum itu, ibu Chang dengan penuh rasa hiba memberitahu mahkamah bahawa tertuduh anak kedua daripada lima orang anak, kini bekerja sebagai pembantu sebuah restoran dan suaminya telahpun berpisah daripada dia.

Ketika ditanya oleh Komathy, bolehkah dia menjaga anaknya dengan baik, ibu Chang yang tidak dapat menahan airmatanya hanya menganggukkan kepala.

Pada 6 Oktober tahun lalu, Chang mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan pecah amanah sejumlah RM1,354 iaitu wang kutipan harian Atomic Network, No.12 Plaza Sinar, Jalan 8/38D, Taman Sri Sinar, Segambut, antara pukul 6.23 petang pada 1 September, 2010 hingga 9.36 pagi keesokan harinya.

Chang, yang dijamin oleh bapanya pada 11 November lepas, berada dalam tahanan reman selama lebih sebulan sebelum dia menukar pengakuannya pada hari ini.

Chang yang tidak diwakili peguam, sebelum itu melalui jurubahasa meminta dibebaskan dengan bon berkelakuan baik, dan dia telah membayar semula wang itu kepada majikannya serta laporan polis telahpun ditarik balik.

Timbalan Pendakwa Raya P. Viknesvaran membantah permohonan bon itu dengan menjelaskan kesalahan pecah amanah adalah suatu kesalahan serius dan berhujah bahawa penarikan balik laporan polis oleh majikan Chang tidak semestinya menjadikan pertuduhan digugurkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain