suria

Penerbangan Tambang Murah Berpindah Ke KLIA2 Oktober 2012

PETALING JAYA: Semua syarikat penerbangan tambang murah akan berpindah ke terminal penerbangan tambang murah (LCCT) tetap baharu, KLIA2, yang dijadualkan siap pada Oktober 2012, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Ditanya tentang sama ada pengendali penerbangan tambang murah enggan berpindah, beliau berkata: "Saya rasa mereka terpaksa berpindah kerana LCCT yang ada sekarang akan ditukar menjadi terminal kargo."

Kerja-kerja di terminal itu rancak dijalankan dan dijangka siap menjelang tahun depan, katanya.

LCCT yang ada sekarang mampu mengendalikan hingga 15 juta penumpang setahun, dan tahun lepas ia mengendalikan kira-kira 17 juta penumpang, kata menteri itu kepada pemberita pada upacara penyerahan Sistem Pemeriksaan Penerbangan (FIS) di sini, Isnin, oleh Systematic Aviation Services Sdn Bhd, kepada kementeriannya.

Memandangkan pertumbuhan pesat lalu lintas dalam sektor tambang murah, kerajaan telah memberikan keutamaan kepada pembangunan segera terminal mega tambang murah bernilai RM2 bilion yang akan menampung keperluan perjalanan tambang murah bagi sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun akan datang.

Dalam 10 tahun kebelakangan ini, perjalanan tambang murah di KLIA telah berkembang pada kadar purata 37 peratus setahun.

LCCT baharu yang terentang di kawasan seluas lebih 150,000 meter persegi itu akan mempunyai kedai runcit dan makanan bagi memastikan keselesaan penumpang.

Sementara itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah melabur lebih daripada RM20 juta bagi pembelian FIS untuk meningkatkan tahap keselamatan penerbangan awam.

FIS merupakan peralatan mudah alih yang dipasang dalam pesawat bagi memantau keselamatan pergerakan pesawat-pesawat di 22 buah terminal udara di dalam negara.

Sebanyak 820,000 pergerakan pesawat telah dicatatkan oleh menara kawalan DCA di seluruh negara bagi tahun 2010 dan daripada jumlah tersebut, KLIA mengawal sebanyak 245,802 pergerakan atau 710 pesawat sehari, kata Kong.

Pertambahan menggalakkan juga dilihat pada jumlah pesawat yang dikendalikan oleh semua lapangan terbang di Malaysia bagi tahun 2010 dengan jumlah keseluruhan meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada 577,985 pesawat, berbanding 535,793 pesawat bagi tahun 2009.

Tahun lepas sebanyak 12 kemalangan pesawat udara di seluruh negara, melibatkan pesawat-pesawat syarikat penerbangan komersial, agensi kerajaan dan sekolah penerbangan, disiasat oleh DCA. - BERNAMA

Artikel Lain