suria

LTdL 2011: Dr. M Gembira Perlumbaan Kembali Ke Langkawi

LANGKAWI: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gembira selepas tiga tahun menyepi, kini perlumbaan terulung di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) kembali ke tempat asalnya, Langkawi.

"Saya gembira kerana akhirnya perlumbaan terbesar negara, LTdL kembali memulakan kayuhan di Langkawi setelah beberapa tahun tidak diadakan di sini.

“Tak kena kalau LTdL tidak diadakan di Langkawi kerana kejohanan ini sememangnya bermula di Langkawi.

“Saya mahu mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur kerana kembali mengadakan LTdL di Langkawi,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pengenalan Pelumba 2011 di Dataran Lang, di sini, Sabtu.

Mengimbas kembali penganjuran LTdL, kali pertama ia diadakan pada 1996 dengan Pulau Mahsuri ini menjadi lokasi permulaan dan penamat kejohanan tersebut.

Antara tujuan utama penganjurannya adalah untuk mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan selain menjana ekonomi negara.

Bagaimana pun, ekoran beberapa masalah yang timbul seperti kos penganjuran yang semakin meningkat serta tempoh pelumbaan yang disingkatkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Langkawi tidak menjadi pilihan utama sebelum ini.

Menurut Dr. Mahathir, penganjuran LTdL edisi ke-16 tahun ini telah mencapai satu tahap yang cukup tinggi dan boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Perlumbaan LTdL bukan sahaja disaksikan oleh rakyat tempatan, malah ditonton kira-kira 350 juta peminat sukan lumba basikal di seluruh dunia.

“Jadi inilah peluang kepada kita untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Dengan penganjuran LTdL melibatkan beberapa buah bandar yang menarik di negara ini, ia sekali gus memberikan gambaran yang baik kepada pelancong luar,” katanya.

Dalam masa yang sama, Dr. Mahathir menambah, beliau berbangga melihat anak tempatan mula melakar kejayaan pada saingan LTdL sejak beberapa tahun lalu.

Paling membanggakan, apabila jaguh sensasi, Anuar Manan muncul pelumba pertama negara memenangi satu peringkat perlumbaan tahun lalu. Dia turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba pertama dari Asia yang merangkul gelaran Raja Pecut pada LTdL 2010.

“Malaysia sudah mencapai kejayaan yang membanggakan menerusi pelumba-pelumba negara. Hasil latihan berulang selain menyertai kejohanan-kejohanan lain akhirnya pelumba-pelumba negara berjaya mencipta kejayaan,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain