suria

Pasukan Respon Kecemasan Komuniti Bantu Mangsa Banjir Sarawak

KUCHING: Pemimpin masyarakat, termasuk penghulu akan mengendalikan Pasukan Respon Kecemasan Komuniti (CERT) untuk membantu kerajaan dalam memberikan pertolongan kepada mangsa banjir terutama di kawasan pedalaman di Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan.

Beliau berkata kabinet negeri memutuskan bahawa mekanisme seperti itu sangat diperlukan dengan segera memandangkan cuaca yang tidak menentu untuk memberikan bantuan kepada masyarakat yang terjejas dan tidak dapat dihubungi disebabkan banjir atau bencana lain.

"Pemimpin masyarakat ini akan bekerjasama dengan pakar seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan CERT, melatih penduduk kampung mengenai cara-cara memberikan bantuan semasa kecemasan," kata Dr Chan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana dan Pengurusan Bantuan Negeri kepada pemberita selepas taklimat mengenai keadaan banjir di negeri ini.

Setakat ini kerajaan negeri telah menerima dua permintaan dari Gedong di Samarahan dan Tabuan Melayu di sini untuk menubuhkan program CERT di kawasan tertentu berikutan kejayaan projek printis di Kampung Bako dekat sini, katanya.

Mengenai keadaan di bahagian Miri, beliau berkata 24 buah sekolah yang membabitkan 3,244 pelajar ditutup Jumaat termasuk 13 sekolah di Subis, sembilan di Baram dan setiap sebuah di Tatau dan Belaga.

Dr Chan berkata 2,215 orang mangsa banjir membabitkan 400 keluarga di Miri, 1,545 daripada 69 keluarga di Bintulu dan 31 daripada 23 keluarga dipindahkan sementara 10,951 orang membabitkan 2,108 keluarga diberikan pelbagai bentuk bantuan.

Kini 2,811 orang di Batu Niah, 612 di SMK Suai, 1,431 di Beluru, Bakong, 500 di Ulu Niah dan 1,200 di Ulu Teru, Tinjar sedang beroperasi, kata beliau.

Beliau berkata Miri dilanda banjir dengan teruk pada Sabtu lepas di mana 229 milimeter air hujan sehari bersamaan hujan sepanjang bulan di Miri.

Mereka yang tinggal di kawasan rendah dinasihati mengambil langkah-langkah berhati-hati pada minggu akan datang kerana Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca buruk disertai dengan angin timur laut, khasnya di wilayah utara, termasuk Limbang, Lawas, Miri dan Bintulu.

Beliau berkata ombak besar dan hujan juga diramalkan semasa perayaan Tahun Baru Cina. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain