suria

Sindiket Jual Bayi Punyai Rangkaian Antarabangsa: Polis

KUALA LUMPUR: Sindiket menjual bayi yang aktiviti mereka dibongkar di sekitar kawasan Lembah Klang minggu lepas dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa terutama dari beberapa negara jiran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, terdapat beberapa orang bayi yang dibawa keluar dari negara ini melalui selatan tanah air.

"Apa yang menarik tentang sindiket ini ialah ianya mempunyai kaitan dengan sindiket negara jiran yang beroperasi di selatan Semenanjung dan terdapat juga unsur-unsur bayi ini telah dibawa keluar," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Bakri berkata, dalam kes terbaru, polis berjaya menyelamatkan tiga orang bayi, dua wanita yang sarat mengandung yang berumur antara 20 hingga 30 tahun dan seorang wanita yang merupakan ibu kepada salah seorang bayi tersebut.

Polis pula menahan lapan wanita termasuk empat rakyat asing dan seorang lelaki yang merupakan anak kepada seorang suspek warga asing yang disyaki menjadi dalang sindiket tersebut, katanya.

"Penahanan ini dibuat menerusi tiga serbuan berasingan pada Jumaat dan Sabtu lepas masing-masing di perkarangan tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Ampang, sebuah klinik swasta di Selayang dan di sebuah rumah salah seorang suspek di Subang Jaya.

"Turut dirampas adalah beberapa buku yang berkaitan dengan sindiket penjualan selain wang tunai RM3,000 yang dipercayai wang pendahuluan menjual bayi," katanya.

Mohd Bakri berkata, siasatan awal mendapat bayi-bayi yang berumur antara lima hingga tujuh hari dijual dengan harga antara RM15,000 sehingga RM20,000 seorang bergantung kepada tahap kesihatan dan rupa paras mereka.

"Kesemua yang ditahan kini direman sehingga 22 Jan sementara kesemua mangsa iaitu bayi dan wanita yang sarat mengandung masih lagi menerima rawatan dan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Beliau berkata polis juga akan menyiasat sama ada individu yang menjual bayi kepada sindiket adalah kerana terpaksa atau sukarela dan sama ada terdapat dalang dalam agensi yang mengeluarkan dokumen kelahiran bayi.

"Mengikut penyiasatan, polis tidak menolak kemungkinan kesemua bayi-bayi ini merupakan anak luar nikah," katanya.

Kesemua bayi dan wanita mengandung tersebut kini ditempatkan di HKL untuk rawatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Mohd Bakri berkata, setakat ini seramai 22 bayi berjaya diselamatkan sejak beberapa operasi dilakukan bermula di sebuah Hospital di Sarawak pada Julai lalu.

"Setakat ini seramai 30 suspek yang berumur antara 20 sehingga 50 tahun telah ditahan termasuk sepasang suami isteri yang merupakan doktor di sebuah klinik swasta yang diserbu pada November tahun lalu di ibu kota," katanya.

Beliau berkata, polis kini giat membuat operasi untuk mematahkan sindiket tersebut yang aktif di sekitar Lembah Klang.

"Saya juga ingin menasihatkan sekiranya mana-mana pasangan yang ingin mengambil anak angkat supaya mengikut saluran dan prosedur yang telah ditetapkan kerana jika ditangkap, mereka juga akan dikira bersubahat," kata Mohd Bakri. - BERNAMA

Artikel Lain