suria

NS Ada Lebihan Kewangan RM136 Juta Bukti Pembangkang Silap

SEREMBAN: Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan Negeri Sembilan mempunyai lebihan kewangan RM136 juta dari tahun 2009 hingga 2010 bagi membuktikan tuduhan pembangkang kononnya kerajaan negeri berhadapan dengan krisis kewangan adalah tidak benar.

"Hari ini kita sudah tutup akaun kita dan kita dapati kita ada lebihan kewangan. RM69 juta daripada jumlah itu akan kita carumkan dalam kumpulan wang pembangunan kerajaan Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri pada Rabu.

Katanya kerajaan Negeri Sembilan tidak mencatatkan defisit sebaliknya ekonomi negeri tumbuh 1.5 peratus.

"Ini memanglah kecil tetapi ia sebenarnya di luar jangkaan kita memandangkan negara mengalami krisis ekonomi akibat kemelesetan ekonomi dunia sebelum ini. Pertumbuhan ini berlaku disebabkan kita dapat mengutip hasil dengan baik, semua bayaran premium diterima," kata Mohamad bagi menangkis dakwaan pembangkang kononnya kerajaan negeri tidak mampu menjalankan projek pembangunan kerana ketiadaan wang.

Beliau menjangkakan ekonomi kerajaan negeri akan mencatat prestasi yang baik untuk tahun 2011 memandangkan terdapat banyak permohonan daripada pelabur dan swasta untuk tujuan pembangunan. - BERNAMA

Artikel Lain