suria

SOP Polis Bantuan Tahan Jurugambar Bernama Diteliti

KUALA LUMPUR: Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung penahanan orang awam oleh polis bantuan antara yang diteliti dalam siasatan kes seorang jurugambar Bernama dipukul beberapa anggota polis bantuan dua hari lepas.

Pegawai Perhubungan Awam Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ASP Suffian Sulaiman berkata polis akan menyiasat dari segala sudut termasuk SOP itu bagi mencari punca sebenar kejadian.

"Siasatan sedang dijalankan semua aspek. Saya dimaklumkan Ketua Polis Daerah Cheras belum ada tindakan dan tangkapan lagi. Kita akan siasat termasuk bidang kuasa dan tugas penahanan polis bantuan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Dalam kejadian pada Ahad itu, jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Hairul Nizam Baharin, 37, mendakwa dipukul polis bantuan berhampiran Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS).

Kejadian itu berlaku sejurus selepas beliau menjalankan tugas mengambil gambar di terminal yang baru dibuka itu yang diuruskan MAJU Terminal Management and Services (MAJU TMAS).

Ketika hendak beredar dari tempat itu, polis bantuan terbabit meminta beliau memberhentikan motosikal namun beliau enggan berbuat demikian kerana tidak tahu tujuan mereka.

Suffian berkata polis turut akan menyiasat sama ada penahanan dibuat dalam lokasi kawalan dan kuasa anggota polis bantuan itu bertugas.

"Itu SOP untuk polis bantuan dan berbeza dengan polis biasa. Bagi kita ruang untuk menyiasat kes ini," katanya.

Difahamkan anggota polis bantuan berpangkat sarjan yang didakwa memukul jurugambar itu akan dipanggil polis hari ini bagi memberi keterangan berhubung kejadian itu.

Pengurus Komunikasi Korporat Maju Holdings Badrul Izhan berkata pihaknya akan bekerjasama sepenuhnya dalam memastikan kes itu tidak berulang lagi.

"Ini pertama kali kejadian seumpama ini berlaku. Pihak kami sudah bagi kenyataan kepada polis semalam. Kami tunggu langkah seterusnya yang akan diberitahu polis," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata syarikat juga berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan kadar segera.

"Kami memang ada tugaskan preman dan anggota beruniform bagi mencari pelaku jenayah di kawasan terminal.

"Kami sendiri juga turut selidik jika ada berlaku masalah disiplin atau salah laku tatatertib ketika kes itu berlaku. Kita tengok dahulu apa sebenarnya yang berlaku. Kita cuma mahukan tahap perkhidmatan diterima orang ramai," katanya.

Dalam pada itu Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Datuk Ahiruddin Atan berkata pihaknya mahukan kerjasama sepenuhnya daripada polis bagi menyelesaikan kes itu segera.

"Saya minta IGP (Ketua Polis Negara) ambil perhatian serius kes ini. Kami mahu kerjasama sepenuhnya dari PDRM kerana sebelum ini IGP ada berjumpa dengan editor untuk bincang jalinan kerjasama antara dua pihak termasuk bagaimana kurangkan jenayah.

"Jadi kejadian pukul ini tidak boleh diterima. Kami minta ambil tindakan kerana kelakuan (jika betul salah) tidak boleh diterima dan minta ambil tindakan sewajarnya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain