suria

Kontraktor Maut Ditetak Pada Bahagian Tengkuk

KUANTAN: Seorang kontraktor ditemui mati dipercayai ditetak dengan parang pada tengkuknya di rumahnya di Lorong Sekilau 34, di sini pagi Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC T. Narenasagaran berkata, sebelum kejadian, seorang rakan sekerja mangsa dipercayai ada bertemu mangsa, Chan Kin Wai, 45, di rumahnya yang pada ketika itu dilaporkan sudah terdapat dua wanita bersama mangsa.

Isteri dan anak mangsa tiada di rumah ketika itu.

"Mereka kemudiannya didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal Yamaha RXZ.

"Dua lelaki itu dikatakan masuk ke dalam rumah lalu meletakkan sebilah parang di leher mangsa sebelum menghalau rakan sekerja mangsa keluar dari rumah itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Narenasagaran berkata, tidak lama selepas itu rakan mangsa kembali semula ke rumah itu untuk melihat keadaan mangsa.

Bagaimanapun dia mendapati pintu rumah itu telah dikunci tanpa kelibat kedua-dua lelaki dan wanita berkenaan.

Rakan mangsa lalu bertindak memecah pintu rumah itu setelah memanggil mangsa beberapa kali namun tidak berjawab.

Setelah berjaya masuk, rakan mangsa dikatakan mendapati mangsa terbaring di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.

Rakan mangsa kemudiannya menghubungi majikannya dan membuat laporan polis.

"Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu telah bergegas ke rumah mangsa dan hasil siasatan mendapati, mangsa dipercayai mati akibat ditetak dengan menggunakan parang di bahagian tengkuk," kata Narenasagaran.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat motif pembunuhan serta mengesan keempat-empat individu berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain