suria

Mustapa Ketuai Misi Perdagangan Dan Pelaburan Ke GCC

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Doha, Qatar dan Riyadh serta Jeddah, Arab Saudi mulai 12-16 Disember.

Mustapa akan diiringi oleh para pegawai MITI, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan para eksekutif kanan dari sektor swasta.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, kementerian berkata yang misi itu akan mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan kedua-dua Negara Asia Barat itu, membincangkan perjanjian perdagangan bebas dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan membuat susulan kepada perkara-perkara yang dibincangkan semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Qatar dan Arab Saudi tahun lepas.

"Misi ini tepat pada masanya kerana Malaysia perlu mengukuhkan usaha pemasaran dan penggalakkan untuk terus meningkatkan hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan kedua-dua negara," katanya.

Dalam lawatan itu, Mustapa dijadual mengadakan pertemuan dengan persatuan perniagaan dan bakal-bakal pelabur Qatar dan Arab Saudi, presiden Bank Pembangunan Islam dan para profesional dan syarikat Malaysia yang beroperasi di sana.

Menteri itu juga akan memterai Perjanjian "Double Taxation Avoidance Agreement" (DTAA) Malaysia-Qatar bagi pihak kerajaan Malaysia.

Dari tahun 2000 hingga 2009, jumlah dagangan dua hala kedua-dua Malaysia dan Qatar meningkat daripada RM250.6 juta kepada RM3.07 bilion.

Jumlah eksport mengembang kepada RM1.92 bilion pada 2009 daripada RM76.7 juta pada 2000, sementara jumlah import dari Qatar mengukuh kepada RM1.15 bilion daripada RM173.9 juta.

Eksport utama Malaysia ke Qatar ialah transformer dan gear suis elektrik, peralatan saintifik, produk logam dan makanan diproses.

Import utama Malaysia ialah petroleum mentah dan produk petroleum.

Kementerian itu berkata yang Qatar mempunyai pelaburan signifikan dalam hartanah Malaysia sementara pelaburan Malaysia di Qatar kebanyakannya dalam sektor pembinaan.

Sementara itu, perdagangan antara Malaysia dan Arab Saudi menunjukkan trend meningkat, katanya sambil menambah yang perdagangan Malaysia dengan Arab Saudi naik kepada RM6.8 bilion pada 2009 daripada RM3.6 bilion pada 2000.

Tahun lepas, Arab Saudi ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport dan sumber import di rantau Asia Barat selepas UAE dan diletakkan sebagai rakan dagang ke-20 terbesar Malaysia seluruh dunia.

Setakat hari ini, 10 projek bernilai RM160.1 juta dalam sektor pembuatan dengan Arab Saudi telah diluluskan yang melibatkan pembuatan produk elektrik dan elektronik, tekstil dan produk tekstil, mesin dan peralatan, pembuatan makanan dan plastik produk.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain