suria

Polis Negeri Sembilan Tembak Mati Penjenayah Warga Asing Pecah Masuk Rumah

Anggota polis mengangkat mayat lelaki rakyat asing yang ditembak polis apabila dia cuba menyerang anggota polis dengan parang dalam kes cubaan pecah masuk rumah di Taman Desa Ros, Ampangan dekat Seremban. Foto BERNAMA
Anggota polis mengangkat mayat lelaki rakyat asing yang ditembak polis apabila dia cuba menyerang anggota polis dengan parang dalam kes cubaan pecah masuk rumah di Taman Desa Ros, Ampangan dekat Seremban. Foto BERNAMA
Anggota polis mengangkat mayat lelaki rakyat asing yang ditembak polis apabila dia cuba menyerang anggota polis dengan parang dalam kes cubaan pecah masuk rumah di Taman Desa Ros, Ampangan dekat Seremban. Foto BERNAMA

SEREMBAN: Seorang lelaki warga asing yang menyerang polis dengan sebilah parang, mati ditembak dalam satu kejadian di Taman Desa Ros, Ampangan dekat sini, Jumaat.

Ketua Polis negeri Datuk Osman Salleh berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika lelaki tersebut bersama dua lagi yang berjaya melarikan diri, sedang memecah masuk ke rumah terbabit.

Mengulas kejadian itu pada sidang media di sini, Osman berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis negeri telah dihantar ke kawasan perumahan tersebut selepas menerima maklumat awam.

"Dalam kejadian ini, pasukan polis telah berpecah dua yang mana pasukan yang di belakang sebuah rumah di situ telah terserempak dengan sekumpulan tiga orang lelaki sedang memotong pagar rumah tersebut.

"Apabila menyedari kehadiran polis, mereka telah berpecah untuk melarikan diri walaupun telah diberi amaran oleh polis. Seorang daripada mereka kemudian cuba menyerang polis dengan sebilah parang," katanya.

Beliau berkata lelaki tersebut yang memakai topeng ski dan sarung tangan juga tidak mengendahkan amaran supaya berhenti, menyebabkan polis melepaskan dua das tembakan yang mengenai kepala dan dadanya.

"Dua lagi melarikan diri ke arah semak di belakang kawasan perumahan tersebut. Selepas diperiksa, selain sebilah parang di sisi mayat lelaki yang ditembak, polis juga menemui sebilah lagi parang, satu alat pemotong dan satu pemutar skru di kawasan berhampiran," katanya.

Katanya polis juga yakin lelaki yang ditembak mati itu adalah ketua kumpulan penjenayah warga asing yang dikenali 'Kumpulan Gemuk', dan dipercayai terlibat dengan 26 kes samun bersenjata di negeri itu.

Tahun ini sahaja katanya, sebanyak tujuh kes dipercayai dilakukan kumpulan tersebut di sekitar Paroi dan Rahang.

"Modus operandi kumpulan ini selalunya memecah masuk menerusi bahagian belakang rumah. Setiap kali melakukan pecah rumah, mereka selalunya membeli alat baru seperti parang, pemotong dan pemutar skru. Selepas saja digunakan, alat baru ini akan dibuang terus.

"Pihak polis telah memantau kumpulan ini yang didapati aktif sejak dua tahun lepas," katanya.

Beliau berkata polis kini mengesan tiga lagi anggota kumpulan itu termasuk seorang dipercayai bertindak sebagai pemandu kenderaan yang diguna bagi melarikan diri selepas menyamun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain