suria

Isteri Dakwa Badrul Hisham Tidak Bayar Bil

KLANG: Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mendakwa dirinya menjelaskan sepenuhnya bayaran bagi bil elektrik dan air semasa mereka tinggal bersama.

Ramizah Mazlan, 39, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini Rabu, dia mengeluarkan kira-kira RM200 sebagai bayaran kepada bil tersebut.

“Secara purata, bil elektrik dan air antara RM100 hingga RM100 lebih dan jika dicampur bil telefon, jumlahnya RM200,” katanya.

Dia yang pernah bekerja sebagai penjaga stor juga bersetuju bahawa dia tidak pernah membuat apa-apa tuntutan di mana-mana mahkamah syariah berhubung perkara tersebut.

“Tetapi tidak menuntut tidak bermaksud saya relakan. Saya memberi peluang untuk beliau berubah,” katanya.

Ramizah juga memberitahu, suaminya hanya memberi duit belaja pasar pada tahun kebelakangan perkahwinan mereka.

“Beliau tidak beri wang. Beliau beli barang-barang dan saya masak apa yang diberi. Beliau susah beri wang.

“Kalau tak ada, saya keluar beli sendiri atau minta,” katanya yang disoal oleh peguam syarie Mahyuddin Md Zahari yang mewakili Badrul Hisham, 50.

Wanita bertubuh sederhana itu juga memberitahu, daripada 1994 hingga 2000, pendapatan bersih suaminya sangat minima iaitu antara RM700 hingga RM800.

Menurut Ramizah, dia dan suaminya itu tinggal berasingan selama lapan bulan selepas bernikah sebelum berpindah masuk ke rumah yang dibina di atas tanah ibu Badrul Hisham.

Katanya lagi, semasa itu, rumah tersebut hanya lengkap 80 peratus menyebabkan dia mengeluarkan kira-kira RM5,000 untuk menyiapkan lagi 20 peratus.

“Tetapi rumah bukan untuk kami sekeluarga. Ada pihak ketiga iaitu ibu defendan (Badrul Hisham) tinggal bersama. Saya redha,” tambah Ramizah yang diwakili peguam syarie Ahmad Nazib Johari.

Terdahulu, sebaik sahaja mengangkat sumpah pada pukul 12.30 tengah hari, Ramizah menyatakan dia tidak selesa dengan kehadiran media di mahkamah.

Bagaimanapun, Mahyuddin berkata, prosiding tersebut berlangsung di mahkamah terbuka dan tiada permohonan tegahan diminta oleh Ramizah.

“Pihak media telah melaporkan prosiding sebelum ini dan pada hari ini ditetapkan untuk pemeriksaan balas. Oleh itu, ia tidak adil untuk anak guam saya,” tambah Mahyuddin.

Hakim Syarie Abdul Malik Soleh yang bersetuju prosiding merupakan mahkamah terbuka meneruskan perbicaraan.

Ramizah memfailkan permohonan untuk bercerai secara fasakh mengikut Seksyen 53, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Dia dan Badrul Hisham mendirikan rumah tangga pada 31 Julai 1993 dan dikurniakan lima cahaya mata, Dzarul Ashroff,16, Dzety Ashikin, 14, Dzureen Arysha, 10, Dzaleen Aryffa,9 dan Dzarif Ashakimi, 4 tahun.

Badrul Hisham, seorang Adun bebas yang menyokong Barisan Nasional selepas keluar daripada Parti Keadilan Rakyat pada 29 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan bersambung 21 Februari depan.

Artikel Lain