suria

Bot Karam Dipukul Ombak, 10 Nelayan Terjun Laut

KUALA TERENGGANU: Seramai 10 nelayan mengalami detik cemas terapung-apung di laut dengan hanya bergantung kepada jaket keselamatan untuk hidup setelah bot mereka karam di perairan Pulau Tenggol, Kemaman tengah hari Ahad.

Mereka terdiri daripada sembilan nelayan warga Thailand dan tekongnya yang berasal dari Vietnam yang bekerja dengan pengusaha bot tempatan.

Mereka terpaksa terjun ke dalam laut setelah bot mereka mengalami kebocoran akibat dipukul ombak.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz berkata kejadian berlaku kira-kira satu batu nautika daripada pantai Pulau Tenggol.

"Bot nelayan laut dalam itu telah mengalami kebocoran akibat pukulan ombak di bahagian hadapan dan belakang bot. Bila melihat bot itu mulai tenggelam, kru-kru bot telah memakai jaket keselamatan dan terjun ke laut," katanya.

Katanya ketika kejadian, keadaan laut adalah bergelora dengan kelajuan angin antara 50 hingga 60 kilometer sejam beserta ombak setinggi tiga meter.

Adam berkata pihaknya yang mendapat maklumat berhubung kejadian itu telah menghantar tiga bot penyelamat untuk memberikan bantuan.

Menurut beliau, empat nelayan berkenaan telah berenang ke pantai Pulau Tenggol manakala enam yang lain telah diselamatkan oleh bot nelayan yang melalui kawasan itu. "Kesemua mangsa selamat walaupun ada yang terapung-apung di laut selama empat jam sebelum diselamatkan.

"Kesemua nelayan itu kemudiannya dibawa ke jeti Kuala Terengganu oleh salah sebuah bot penyelamat untuk diberikan rawatan dan tindakan susulan," katanya.

Kesemua nelayan berkenaan yang berumur antara 23 hingga 41 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah, katanya.

Beliau mengingatkan nelayan dan pengusaha bot agar mematuhi amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi sepanjang musim tengkujuh sekarang bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain