Maxis Catat Keuntungan Pracukai RM2.3 Bilion - Semasa | mStar

Maxis Catat Keuntungan Pracukai RM2.3 Bilion

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd telah mencatatkan prestasi kukuh untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2010 dengan keuntungan pracukainya berjumlah RM2.3 bilion berbanding dengan RM1.27 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan syarikat itu mengukuh kepada RM6.559 bilion daripada RM5.4 bilion sebelumnya.

Dalam suku pertama, keuntungan pracukai bagaimanapun, lebih rendah pada RM815 juta daripada RM1.3 bilion sebelumnya.

Pendapatan bagaimanapun menokok kepada RM2.216 bilion daripada RM1.83 bilion untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi prestasi suku-ke-suku, Maxis mencatatkan pertumbuhan 13 peratus untuk keuntungan bersih kepada RM601 juta berbanding RM532 juta dalam suku kedua.

Maxis mengaitkan pendapatan yang menggalakkan kepada meningkatnya pendapatan bukan suara yang dijana daripada perkhidmatan mudah alih, sebahagiannya mengimbangi penurunan dalam pendapatan saling hubung.

"Pertumbuhan dalam pendapatan bukan suara terutamanya disumbangkan oleh perkhidmatan data jalur lebar tanpa wayar dan data terdahulu," katanya.

Maxis telah mengumumkan dividen interim satu tier dengan pengecualian cukai lapan sen sesaham.

Maxis berkata dividen untuk baki tahun kewangan semasa akan diumumkan berdasarkan sukuan dan menjangkakan jumlah dividen sama seperti yang diumumkan untuk suku pertama dan kedua.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sandip Das berkata, matlamat utama Maxis ialah untuk mengembangkan kepimpinan pasarannya, terus menginovasi untuk masa depan dan meningkatkan kecekapan operasi dan ganjaran nilai kepada semua pemegang saham.

Beliau berkata, Maxis mempunyai penambahan bersih yang kukuh iaitu 554,000 pengguna dalam suku ketiga.

Beliau berkata, pendapatan bukan suara hampir 40 peratus pendapatan mudah alih Maxis, mengesahkan tempatnya di kalangan prestasi terbaik syarikat-syarikat telekomunikasi di rantau ini dalam ruang data, sambil menambah yang pendapatan bukan suara suku kedua menyumbang kira-kira 36.6 peratus daripada pendapatan mudah alih. Beliau berkata setakat akhir suku ketiga, jumlah pelanggan jalur lebar tanpa wayar Maxis ialah 524,000, berganda daripada 264,000 pelanggan setakat akhir 2009.

"Seperti di kebanyakan pasaran, peringkat seterusnya pertumbuhan ialah jalur lebar. Terdapat banyak potensi pertumbuhan di Malaysia.

Kira-kira separuh daripada populasi Malaysia ialah di bawah usia 25 tahun dan sebahagian besar daripada mereka ialah pengguna Internet," kata beliau.

Kebanyakan pertumbuhan ialah dari kumpulan ini yang menggunakan perkhidmatan internet, kata beliau.

Sandip berkata, bagi memastikan yang pengguna mendapat pengalaman data terbaik dengan Maxis, ia akan terus memberi penekanan kepada pengembangan rangkaiannya dengan pelaburan melebihi RM3 bilion dalam hanya tiga tahun dan akan melabur RM1.4 bilion tahun ini.

Untuk tempoh suku itu, Maxis membelanjakan RM489 juta untuk perbelanjaan modal untuk meningkatkan rangkaian berkelajuan tingginya, mengembangkan liputan dalam kawasan geografi baharu dan mengukuhkan liputan populasi generasi ketiga kepada 72 peratus, katanya.

Setakat ini, Maxis telah melabur RM931 juta untuk capex tahun ini, tambah beliau.

"Selain daripada terus melabur untuk rangkaian tanpa wayarnya, Maxis turut memperkenalkan rangkaian gentiannya untuk menyediakan talian tetap Internet Berkelajuan Tinggi Generasi Akan Datang ke rumah," kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).