suria

Mayat Lelaki Ditikam Dengan Leher Dikelar

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tikaman di hadapan dan belakang badan, serta kesan kelar di leher, ditemui di tepi jalan menuju ke tangki air Kampung Batu, Jinjang di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata mangsa yang merupakan seorang India Muslim berumur dalam lingkungan 45 hingga 50 tahun itu ditemui mati oleh orang awam kira-kira pukul 1.30 pagi.

"Mangsa memakai kemeja-t berbelang-belang, berseluar panjang, memakai selipar dan badannya agak gempal.

"Bagaimanapun tiada sebarang dokumen diri atau senjata dijumpai di tempat kejadian," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS).

Zakaria berkata mangsa disyaki dibunuh beberapa jam sebelum ditemui dan beliau tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di situ.

"Motif pembunuhan masih tidak diketahui dan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat," katanya.

Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat atau kehilangan anggota keluarga diminta menghubungi Balai Polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain