suria

Penyunting Berita Ekonomi Bernama, Lim Chong Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Penyunting berita ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Lim Chong meninggal dunia akibat serangan jantung dalam penerbangan dari London ke Malaysia awal Jumaat. Lim, 56, berlepas ke London pada Selasa lepas atas satu tugasan dan mengambil penerbangan pulang ke tanah air pada Khamis.

Mendiang meninggalkan isteri Tan Hong See dan anak lelaki, Yew Seng, 22.

Tan berkata bedah siasat di Hospital Serdang mengesahkan bahawa suami beliau meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau berkata mayat Lim kemudian dibawa ke rumah mereka di 72, Jalan 34/38A, Taman Sri Bintang di Segambut.

Jenazah mendiang akan dibawa dari kediamannya pada 11 pagi Isnin ini menuju ke tempat pembakaran mayat Kepong di Taman Desa, katanya.

Lim memulakan kariernya dalam bidang kewartawanan sebagai pemberita dengan akhbar Malay Mail dan New Straits Times (NST) pada 1970-an, sebelum dilantik sebagai penyunting CompuTimes, sisipan teknologi maklumat NST yang diterbitkan dua minggu sekali, sebelum menjadi pengurus besarnya.

Selepas bersara daripada CompuTimes enam tahun lalu, beliau kemudian menyertai Bernama sebagai penyunting berita ekonomi.

Lim, yang meminati permainan catur dan menganggotai majlis Persatuan Catur Selangor, mengetuai ruangan catur dalam Malay Mail pada tahun 1980-an. - BERNAMA

Artikel Lain