suria

Liputan Telefon Bimbit Kawasan Luar Bandar Mencapai 97 Peratus Menjelang 2012

KUALA LUMPUR: Liputan telefon bimbit di kawasan luar bandar di negara ini dijangka mencapai 97 peratus menjelang 2012 dengan pemasangan 873 menara telekomunikasi baru, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha yang sedang dijalankan untuk menyediakan liputan telefon bimbit di kawasan pedalaman kerana teknologi telah menyediakan salinghubungan dan perubahan serta menaikkan taraf sosio-ekonomi penduduk luar bandar.

"Dalam usaha untuk menyediakan liputan perkhidmatan di kawasan luar bandar, perkhidmatan internet wi-fi digunakan untuk menyediakan "Kampung WiFi" kepada orang ramai bagi memudahkan jalur lebar di negara ini dan juga bagi membawa manfaat jalur lebar kepada orang ramai," katanya pada pelancaran YTL Communications Sdn Bhd "Yes," -- rangkaian 4G pertama dunia di sini, Jumaat.

Pelancaran itu dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rais berkata, komunikasi tanpa wayar, kedua-dua suara dan data mudah alih, mempunyai komponen penting dalam menjana produktiviti untuk golongan peniaga Malaysia.

"Penggunaan data tanpa wayar, khasnya jalur lebar mudah alih untuk mengendalikan perniagaan kini sedang giat digunakan, bagi memperbaiki lagi pertumbuhan perusahaan di Malaysia.

"Dengan kemajuan teknologi kebelakangan ini, banyak industri dan perniagaan berkaitan telah dijana, kesan susulan yang berpunca daripada industri tanpa wayar itu sendiri yang kini muncul sebagai industri bernilai multi-bilion di negara ini," kata beliau.

Rais berkata, nilai ekonomi industri tanpa wayar terhadap ekonomi nasional ialah kira-kira RM90 bilion atau US$26.5 bilion, mewakili 17 peratus keseluruhan Keluaran Negara Kasar (KNK) pada 2008.

"Angka ini tidak termasuk nilai penggunaan sumber spektrum kerajaan di Malaysia seperti untuk tujuan pertahanan dan keselamatan," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain