suria

Pemandu Bas Terselamat Hukuman Sebatan Rotan Kerana Miliki Dadah

PUTRAJAYA: Seorang pemandu bas, yang didapati bersalah kerana memiliki dadah, terselamat daripada hukuman sebatan rotan mandatori kerana dia menghadapi hukuman mati bagi kes dadah lain. Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar yang mengetuai tiga panel hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan luar biasa ini setelah mengambilkira Seksyen 289 (b) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) yang mengecualikan hukuman sebatan rotan terhadap lelaki yang menghadapi hukuman mati.

Suriyadi yang bersidang dengan dua lagi hakim, Hakim Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop, memberitahu Suzimi Shaari bahawa dia terselamat daripada hukuman sebatan rotan mengikut Akta Dadah Merbahaya (DDA), oleh sebab Seksyen 289.

Seksyen 39 (A) DDA mengenakan hukuman minimum lima tahun penjara dan maksimum 20 tahun penjara dan 10 sebatan rotan mandatori bagi seseorang yang disabitkan kesalahan kerana memiliki dadah.

Sebelum itu, panel berkenaan sebulat suara menolak rayuan Suzimi terhadap kesalahan dan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya yang berusia 45 tahun oleh Mahkamah Tinggi Taiping, Perak pada 31 Mac 2007 bagi pertuduhan pertama mengedar 4,877 gram ganja.

Dia didapati bersalah kerana melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta di kawasan rehat Gunung Semanggol, KM195.5, Lebuhraya Utara Selatan, Semanggol, Perak pada pukul 10.15 malam, 2 Ogos, 2001.

Bagaimanapun, panel itu mengurangkan pertuduhan kedua mengedar dadah terhadap Suzimi kepada memiliki dadah dan kemudian menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara kepada Suzimi setelah dia mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dikurangkan. Suriyadi memerintahkan Suzimi menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 2 Ogos, 2001.

Suzimi juga didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Taiping bagi pertuduhan kedua yang dia didakwa mengedar 263.2 gram ganja di rumahnya Jalan Gula, Simpang Empat, Semanggol, pada pukul 10.50 malam, 2 Ogos, 2001.

Dia diwakili oleh peguam Bernard Francis sementara Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof mengendalikan pendakwaan. - BERNAMA

Artikel Lain