suria

Tujuh Tahun Balasan Merompak

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, memerintahkan seorang tukang rumah dipenjarakan selama tujuh tahun selepas mengaku bersalah merompak seorang warga Indonesia.

Hakim Hasbi Hasan memerintahkan tempoh hukuman terhadap Izran Shah Noorshah bermula daripada tarikh dia ditangkap, iaitu 8 Oktober lalu.

Hasbi pada penghakimannya juga menasihatkan tertuduh untuk berubah sikap dan menjadi insan yang lebih bertanggungjawab selepas tamat menjalani hukuman.

“Setiap hari di mahkamah ini ada sahaja kes rompak, sehingga ada orang awam yang menghubungi saya bertanyakan kenapa mahkamah membenarkan ikat jamin kerana tertuduh akan melakukan kesalahan serupa selepas dibebaskan.

“Bagaimanapun, mahkamah tidak akan mengambil kira aduan orang awam dan membuat pertimbangan berdasarkan fakta kes itu sendiri,” katanya lagi.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa merompak sebuah telefon bimbit, dua kotak rokok dan wang tunai kira-kira RM250 daripada Irwan Lukman.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.30 petang, 6 September lalu di kedai runcit nombor 1464C, Jalan Sungai Buaya-Sungai Choh, Rawang, Hulu Selangor, dekat sini.

Terdahulu, Izran Shah yang baru sahaja dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen berasingan merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan ke atasnya, kerana telah insaf dan menanggung nenek yang uzur.

Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Baharom pula memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain