suria

Tiga Pejalan Kaki Maut Dirempuh Pacuan Empat Roda Di Beluran

BELURAN: Tiga pejalan kaki terbunuh apabila dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbabas ke tepi jalan di Kilometer 85 Jalan Nangoh-Paitan semalam.

Ketiga-tiga wanita itu yang dikenali sebagai Gagosah Tiopo, 55, Naslia Kamaruddin, 48, dan Emmie Galpam, 22, mati di tempat kejadian.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat, kata Pemangku Ketua Polis Beluran Asisten Supritendan (ASP) Zakaria A.Rahim.

Beliau berkata dalam kejadian itu, pemandu kereta pacuan empat roda terbabit dikatakan gagal mengawal keretanya yang dipercayai dipandu laju menyebabkan kenderaan itu terbabas ke tepi jalan lalu merempuh kesemua mangsa.

Pemandu berusia 21 tahun itu tidak memberhentikan kenderaannya di tempat kejadian sebaliknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu kenderaan itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas kenyataannya diambil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain