suria

Sembilan Sekolah Di Rantau Panjang Dan Tumpat Ditutup Kerana Banjir

RANTAU PANJANG: Hujan selama dua hari berturut-turut di Kelantan khususnya di daerah Kota Baharu, Rantau Panjang dan Tumpat menyebabkan negeri ini mulai dilanda banjir.

Air yang naik mendadak ekoran limpahan Sungai Golok di Rantau Panjang menyebabkan sembilan buah sekolah di dua daerah di negeri ini iaitu Rantau Panjang dan Tumpat diarah tutup dengan segera pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussein Awang berkata kesemua sembilan sekolah itu ditutup pada pukul 9.30 pagi atas faktor keselamatan.

"Sekolah yang ditutup itu melibatkan enam sekolah rendah di Rantau Panjang, sebuah sekolah rendah di Tumpat, sebuah sekolah menengah di Rantau Panjang dan sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan juga di Rantau Panjang," katanya.

Hussein berkata sekolah rendah yang ditutup di Rantau Panjang ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, SK Sri Rantau Panjang 2, SK Rantau Panjang, SK Lubok Stol, SK Rahmat, SK Gual Tok Deh manakala sekolah rendah di Tumpat ialah SK Chenderong Batu.

"Sebuah sekolah menengah yang ditutup itu pula ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang dan sebuah sekolah cina iaitu SJKC Khay Boon," katanya. Beliau berkata tempoh penutupan sekolah bergantung kepada keadaan banjir di daerah itu.

Selain itu beliau turut menasihati pelajar agar tidak menjadikan penutupan sekolah sebagai peluang kepada mereka bermain air banjir.

Katanya meskipun sekolah ditutup, ibu bapa, pengetua dan guru sekolah diingatkan menjadi mata dan telinga untuk memantau dan menasihati pelajar agar berhati-hati sepanjang musim itu.

"Kita juga minta pengetua dan guru besar mengambil langkah awal dengan menyelamatkan atau menjaga harta benda sekolah ke tempat yang selamat sebagai persediaan sekiranya berlaku banjir yang lebih besar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain