suria

Dr M Lawat Rakan Lama Chong Eu

GEORGE TOWN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Selasa, melawat bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu yang kini sedang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP). Dr Lim, 91, dimasukkan ke hospital itu minggu lepas selepas diserang sakit angin ahmar.

"Dr Lim masih lagi dalam keadaan koma dan kami tidak dibenarkan berdiri dekat dengan beliau kerana dikhuatiti mungkin menyebabkan jangkitan," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas melawat Dr Lim di sini hari ini.

Katanya, Dr Lim adalah seorang ketua menteri yang bagus dan amat rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

"Saya berpendapat antara sebab Gerakan dijemput untuk menyertai Barisan Nasional (BN) adalah kebolehan Dr Lim menjalinkan satu hubungan yang baik dengan semua anggota dalam parti BN pada masa itu," katanya.

Dr Mahathir yang diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Tan Sri Vincent Tan tiba di HPP kira-kira pukul 7.15 malam dan meluangkan masa lebih kurang 35 minit di wad berkenaan.

Dr Lim, menjadi ketua menteri kedua Pulau Pinang dan memegang jawatan itu selama 21 tahun dari Mei 1969 hingga Oktober 1990.

Beliau pernah menjadi presiden MCA sebelum meninggalkan parti itu dan menjadi presiden parti Gerakan selama sembilan tahun mulai 1971.

Di bawah kepimpinannya, Gerakan menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1972 selepas merampas kepimpinan kerajaan negeri dalam pilihan raya sebelum itu.

Pada era pentadbirannya, Dr Lim membangunkan kawasan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) yang kini dikenali sebagai Zon Perindustrian Bebas (FIZ).

Mercu tanda Pulau Pinang, Komtar yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri dan Jambatan Pulau Pinang adalah hasil perancangan beliau.

Artikel Lain