suria

Amerika Berminat Perkembangan, Kemajuan Wanita Malaysia

KUALA LUMPUR: Amerika ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan dan penyertaan wanita Malaysia dalam beberapa bidang seperti politik, pendidikan, dan perniagaan, kata Setiausaha Negara Amerika Hillary Rodham Clinton.

"Saya ingin tahu lebih lanjut mengenai apa yang sedang berlaku di Malaysia, dan saya berharap dapat lebih banyak peluang untuk jayakan usaha saling bertukar pandangan antara wanita Amerika dan wanita Malaysia.

"Sepanjang lawatan saya ke mana jua, saya sering berusaha untuk dapatkan maklumat mengenai berapa ramai wanita yang saya temui yang merupakan dari kalangan pembuat keputusan," katanya, Selasa.

Beliau membuat kenyataan itu di hadapan lebih 500 hadirin, yang termasuk dari kalangan pemimpin-pemimpin wanita, ahli akademik, pelajar kolej dan universiti, serta wakil-wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, dalam satu majlis khas "Perbualan Bersama Setiausaha Negara Amerika Hillary Rodham Clinton" di Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac) di sini.

Program sejam itu dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad (Media Prima) Datuk Ahmad A. Talib dan juruacara TV3 Norzie Pak Wan Chek.

Clinton, yang menemui beberapa tokoh wanita Malaysia dalam bidang politik, perbankan, kerajaan, dan perniagaan sebelum itu berkata, beliau berharap lebih ramai wanita muda Malaysia akan mempamerkan komitmen mereka terhadap usaha menjayakan model pelbagai budaya yang cukup sinonim dengan Malaysia, di samping menunjukkan cara menjayakannya kepada lain-lain negara, bagi membantu mereka untuk mencontohi Malaysia.

"Wanita terus memainkan peranan lebih penting hari ini, terutama wanita muda berpendidikan tinggi," katanya.

Clinton berharap agar wanita yang melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti, akan diberikan galakan bagi meneruskan aspirasi profesional mereka, dan pada masa yang sama mereka tidak melupakan keinginan peribadi untuk menjadi ibu dan isteri satu hari nanti. "Masyarakat seharusnya menyokong perkara ini kerana kita tidak mahu bakat-bakat kalangan wanita muda yang berpelajaran ini disia-siakan begitu sahaja, kita mahukan supaya wanita muda berpelajaran ini memiliki keluarga dan bina generasi berikutnya," katanya.

Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang turut hadir di acara itu berkata beliau amat gembira dengan langkah kerajaan Amerika untuk bekerjasama dengan kementerian bagi memastikan hubungan dua negara melalui pembangunan kaum wanita dapat ditingkatkan lagi.

"Saya akan jumpa Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis (Duta Besar Malaysia ke Amerika) dan akan buat susulan dengan dengan pejabat Clinton untuk mulakan kolaborasi secara rasmi.

"Saya nampak dia (Clinton) kata wanita Malaysia memang sudah melakar beberapa pembangunan yang amat membanggakan, dan apabila dia kembali ke Amerika, pasti dia akan melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang baik dari aspek pembangunan wanita," katanya.

Shahrizat berkata secara puratanya, imej wanita Malaysia di dunia global begitu baik sekali, namun kejayaan kaum wanita ini perlu turut dipromosikan di luar negara. - BERNAMA

Artikel Lain