suria

Dipenjara 16 Tahun Sebabkan Kematian Peminjam Wang Berlesen

SHAH ALAM: Seorang lelaki terselamat daripada hukuman mati apabila dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyebabkan kematian seorang peminjam wang berlesen dengan cara menikamnya menggunakan gunting, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan tertuduh, Rais Ngteni, 23, yang bekerja sendiri, menjalani hukuman itu berkuatkuasa daripada tarikh dia ditangkap pada 7 Oktober 2006.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Soh Kim Chye, 35, di Sungai Langat di kawasan Batu Hampar, Jalan Jugra, Jugra, Banting, antara pukul 7.30 malam dan 8 malam pada 3 Oktober 2006.

Pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Rais sebelum ini dibicarakan atas tuduhan membunuh Soh mengikut Seksyen 302 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, di akhir kes pembelaan, mahkamah memutuskan untuk mensabitkan tertuduh atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa.

Seramai 26 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Isa Hassim sementara tertuduh diwakili peguam Aminuddin Mohd Ramli. - BERNAMA

Artikel Lain