suria

SAPP Tidak Konsisten Memperjuangkan Hak Dan Autonomi Sabah, Kata Yahya Hussin

SANDAKAN: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee tidak konsisten dalam memperjuangkan kepentingan dan autonomi rakyat Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin.

Ini kerana katanya, semasa menjadi Ketua Menteri dahulu, Yong tidak begitu lantang dalam memperjuangkan soal hak dan autonomi negeri itu.

"Hanya apabila SAPP keluar daripada BN (Barisan Nasional)(pada tahun 2008), parti itu kelihatan lantang melaung-laungkan slogan 'Sabah for Sabahans'.

"Ini bermakna SAPP tidak konsisten dalam perjuangan mereka dan hanya membangkitkan isu itu semata-mata untuk meraih sokongan atau kepentingan politik," katanya kepada Bernama, di sini, Sabtu.

Justeru kata Yahya, rakyat Sabah terutama penduduk Batu Sapi tidak harus terpedaya dengan slogan SAPP itu, dan sebaliknya memberi sokongan padu kepada calon BN Datin Linda Tsen pada 4 November ini.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Datuk Edmund Chong (BN) memperolehi 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing yang mendapat 5,771 undi.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi yang terdiri daripada 24,047 pengundi biasa dan 1,535 pengundi pos.

Seramai 15,099 atau 59.02 peratus merupakan pengundi Bumiputera beragama Islam, 689 Bumiputera bukan Islam (2.69 peratus), 9,737 kaum Cina (38.06 peratus) dan lain-lain 57 orang (0.22 peratus). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain