suria

Malaysia Akan Terus Bersama PBB

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memainkan peranan bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menyatukan penduduk dunia.

Timbalan Menteri Luar, Senator A.Kohilan Pillay berkata, Malaysia akan terus mempromosikan keharmonian, bertolak ansur dan kefahaman mengenai agama demi keamanan dunia.

Beliau berkata, sehubungan dengan itu, kerajaan akan terus menerapkan nilai 1Malaysia dalam setiap diri masyarakat negara ini sebagai langkah berterusan untuk menjadi contoh kepada negara lain.

"Sebelum kita ke peringkat seterusnya penekanan terhadap semua masyarakat di negara ini perlu diperkukuhkan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-65 PBB di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Kohilan berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan bersama-sama PBB terutama dalam program Millenium Development Goals (MDG) yang memberi penekanan terhadap pembangunan manusia.

"Kita akan terus memainkan peranan dan kita sebenarnya telah melalui fasa yang memberangsangkan dalam mempraktikkan polisi sedia ada," katanya.

Bagaimanapun katanya, masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian seperti hubungan dua hala antara PBB dan Malaysia dalam menghadapi pelbagai isu dan krisis antarabangsa.

Sementara itu, wakil PBB ke Malaysia, Kamal Malhotra ketika berucap menyatakan akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan dasar Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) berjalan lancar.

Katanya, pihaknya akan memastikan kerjasama dalam perkara berkaitan kemanusian dan ekonomi akan dapat membawa Malaysia menuju aspirasi Wawasan 2020.

Pada Majlis itu, PBB turut menamakan Datin Paduka Marina Mahathir sebagai penerima anugerah Individu PBB Tahun Ini.

Artikel Lain