Kecuaian Manusia Punca Bot Ekspres Langgar Tongkang Balak Di Tatau - Semasa | mStar

Kecuaian Manusia Punca Bot Ekspres Langgar Tongkang Balak Di Tatau

KUCHING: Kecuaian manusia adalah punca bot ekspres berlanggar dengan tongkang balak di hulu Sungai Anap, Tatau, Bintulu di sini petang semalam, kata Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Roland Sagah Wee Inn hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu bot berkenaan cuai kerana cuba memotong tongkang di hadapan yang ditarik sebuah kapal tunda di sebuah selekoh sungai yang sempit dan berbahaya.

"Bot ekspres itu dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong tongkang, dan ia tersangkut pada tali yang digunakan untuk menarik tongkang berkenaan sehingga menyebabkan bot ekspres terbalik serta karam.

"Boleh jadi dia tersilap menghitung jarak," katanya kepada Bernama, Selasa.

Sagah berkata pemandu bot berusia lingkungan 60-an itu kini ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung tragedi yang setakat ini mengorbankan enam penumpang.

Beliau berkata bot ekspres dalam perjalanan dari Pekan Tatau ke Hulu Kakus itu memiliki permit dan rekod operasi yang baik.

Katanya, LSS menjalankan pemeriksaan setiap enam bulan bagi memastikan semua bot ekspres dalam keadaan baik dan selamat termasuk dilengkapi jaket keselamatan, selain mematuhi waktu serta kawasan operasi yang ditetapkan.

"Bot ekspres berkenaan baru sahaja melalui pemeriksaan berhubung tahap keselamatan. Ia dalam keadaan selamat," katanya.

Dalam kejadian pada 2.30 petang semalam, bot ekspres "Liang Yu" yang dipercayai membawa kira-kira 30 penumpang itu terbalik dan karam selepas berlanggar dengan tongkang balak.

Setakat ini, enam disahkan terkorban manakala 17 penumpang, termasuk empat kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun, selamat.

Polis mengenal pasti 21 penumpang dalam bot itu, namun jumlah sebenar tidak diketahui kerana bot tersebut mengambil penumpang di sepanjang perjalanannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Polis siasat dakwaan Syed Saddiq diugut