suria

Kerajaan Mungkin Uruskan Dana Pencen Swasta

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin menguruskan Dana Pencen Swatan tetapi akan menunggu maklum balas terhadap dana yang dicadangkan di bawah Bajet 2011, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

"Idea sebenarnya ialah untuk membolehkan lebih ramai lagi mencarum," kata beliau kepada pemberita selepas taklimat media mengenai Forum Ekonomi Bio-Herba Global ke-4 2010.

Ditanya mengenai pengecualian cukai untuk dana berkenaan, Lim berkata cadangan itu telahpun dikemukakan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

"Kerajaan mengalu-alukan idea dan cadangan yang relevan," kata beliau.

Mengenai forum yang akan dianjurkan itu, Lim berkata kerajaan serius untuk mempromosikan industri bio-herba.

Beliau berkata yang Kementerian Pendidikan Tinggi telah meluluskan kursus ubat-ubatan China yang akan dikendalikan dalam bahasa Mandarin di Universiti Tun Abdul Razak.

Beliau percaya China mempunyai pengalaman meluas untuk mengkomersilkan industri bio-herba dan menerusinya, beliau berharap penawar untuk penyakit seperti denggi yang tidak boleh dirawat oleh perubatan moden boleh diperolehi menerusi perubatan bio-herba.

Beliau berkata ia merupakan misi penganjur forum untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan canggih untuk bioteknologi di rantau Asia Pasifik.

Kira-kira 3,500 peserta dijangka menghadiri forum tiga hari yang bertemakan "Membina Salurun Global, Mengemudi Ekonomi Herba" bermula pada 5 November di sini.

Forum yang dimulakan oleh Malaysia, telah melebar ke negara-negara Asia yang lain seperti China, Filipina, Indonesia, Thailand, Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Vietnam.

Ia dianjurkan bersama oleh Easy Pha-max Marketing Sdn Bhd, Hewo.com, Hopematic Sdn Bhd, Platform2u.com Bhd, Green Beverly Hills dan Healthylifesoftware Sdn Bhd. - BERNAMA

Artikel Lain