Matlamat Negara Maju Menjelang 2020 Bergantung Kepada Warga Pendidik - TPM - Semasa | mStar

Matlamat Negara Maju Menjelang 2020 Bergantung Kepada Warga Pendidik - TPM

KUALA LUMPUR: Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga pendidik dalam menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini kerana pembentukan insan secara holistik hanya dapat dicapai melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

"Dengan ini, kita akan dapat menghasilkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketrampilan serta berupaya untuk memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara kita.

"Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, Sabtu.

Perhimpunan bertema "Guru Pemangkin 1Malaysia" itu dihadiri kira-kira 14,000 warga pendidik dari seluruh negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata guru mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam memupuk bibit-bibit perpaduan anak bangsa sejak berada di bangku sekolah lagi.

"Tema perhimpunan ini iaitu 'Guru Pemangkin 1Malaysia' adalah amat tepat dengan peranan guru yang merupakan perantara yang paling dekat dengan masyarakat.

"Saya menaruh harapan penuh keyakinan bahawa guru mampu memainkan peranan menyatukan jiwa-jiwa anak bangsa dengan cara menyemai dan memupuk perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata guru juga berperanan dalam usaha mentransformasikan negara ke arah mencapai negara maju dengan rakyat berpendapatan dan berproduktiviti tinggi sesuai dengan MBE yang diperkenalkan.

"Persaingan dalam dunia global bagi memajukan negara memerlukan modal insan yang berkualiti tinggi dari aspek pengetahuan dan kemahiran. Dalam konteks ini, kerajaan telah mengambil langkah yang proaktif melalui pengukuhan sistem pendidikan yang didorong oleh pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bermula dari peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi," katanya.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran sentiasa berusaha menyediakan peluang P&P yang sama rata kepada semua termasuk kumpulan berkeperluan khas yang juga merangkumi kumpulan Orang Asli di Semenanjung serta kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak.

Katanya langkah kementerian memperkenalkan dasar-dasar baru seperti Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Dasar 1Murid 1Sukan, Transformasi Kurikulum serta Mengarusperdanakan Aliran Vokasional dan Teknikal merupakan langkah-langkah penambahbaikan dalam sistem pendidikan sedia ada.

"Namun demikian, pelaksanaan dasar-dasar baru ini tidak pernah membelakangi dasar-dasar lain yang masih relevan dan akan terus dilaksanakan selagi ia bersesuaian dengan kehendak semasa.

"Semua dasar ini bertujuan untuk menjadikan modal insan yang seimbang, holistik, mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, sihat dan membentuk warganegara yang baik dan cemerlang," katanya.

"Justeru, saya menyeru supaya semua warga pendidik sebagai ejen pelaksana dan ejen perubahan supaya memainkan peranan masing-masing di semua peringkat demi mencapai dan merealisaikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa sesuai dengan semangat 1Malaysia," katanya. Muhyiddin berkata cabaran utama yang dihadapi oleh pendidikan Kebangsaan adalah untuk menjadikan warganegara yang berdaya tahan, dinamik, progresif, berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.

Oleh itu, katanya adalah wajar Penilaian Kritikal terhadap proses-proses pendidikan yang sedang berjalan dilakukan supaya sebarang penyesuaian adalah selaras dengan keutamaan serta keperluan masyarakat domestik dan global yang sentiasa berubah.

"Guru juga perlulah mempunyai nilai kepimpinan tinggi, kekuatan minda yang profesional, ketangkasan daya fikir dan daya cipta, kemantapan idealisme yang harus dibangunkan untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang cemerlang.

"Warga pendidik juga perlu mempunyai kesediaan dan kesetiaan untuk memikul amanah yang diberikan bersalutkan nilai patriotisme yang tinggi supaya generasi yang dilahirkan melalui sistem pendidikan yang dipimpin memiliki ilmu, nilai dan sikap yang menguntungkan negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain