suria

AminulRasyid Disahkan Maut Ditembak Di Lokasi

SHAH ALAM: Pelajar tingkatan tiga yang didakwa mati akibat ditembak polis, AminulRasyid Amzah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian di mana sebuah kereta Proton Iswara putih dikatakan terbabas selepas dikejar dua kereta peronda.

Pembantu Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini, Muhamad Sahid Abdul Karim, 30, berkata, perkara itu disahkan selepas dia memeriksa mangsa sebanyak dua kali.

“Saya memeriksa nadi di leher dan mendapati tiada denyutan. Kemudian, saya mengeluarkan stetoskop untuk memeriksa denyutan jantung, tetapi juga tiada. Begitu juga dengan pernafasan mangsa.

“Tiada denyutan jantung dan nadi menunjukkan bahawa mangsa telah meninggal dunia,” katanya yang menuju ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dari pusat panggilan.

Meskipun mangsa telah meninggal dunia, saksi pendakwaan kesembilan masih menyelak bahagian belakang baju yang dipakai AminulRasyid untuk memeriksa kecederaannya.

“Saya juga pegang dahi mangsa, tetapi sebelum sempat saya pusingkan kepala, ada anggota polis melarang saya mengalihkan mangsa daripada kedudukan sebenar.

“Jadi, saya pun berhenti dan apabila saya melihat sarung tangan yang digunakan, saya dapati terdapat darah,” katanya di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Semasa itu, saksi gagal mendapatkan pengenalan mangsa apabila diberitahu oleh seorang anggota polis bahawa dia perlu menunggu ketibaan pegawai penyiasat terlebih dahulu.

Pada keterangan lain, Muhamad Sahid yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.23 pagi, 26 April lalu melihat kepala mangsa berada di atas kerusi pemandu manakala tubuhnya dalam keadaan tertiarap dengan kaki lurus keluar daripada kereta.

Dia juga memberitahu bahawa kedudukan mangsa pada gambar yang ditunjukkan kepadanya di mahkamah adalah berbeza daripada kedudukan sebenar di tempat kejadian.

Gambar di mahkamah menunjukkan AminulRasyid terbaring di atas rumput di sebelah kereta.

Kata Muhamad Sahid, walaupun dia tidak melihat muka mangsa kerana dilarang oleh polis, pengecaman dapat disahkan menerusi betis dan bentuk tubuh mangsa.

Keterangan Ketua Cawangan Persenjataan, Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, Sarjan Mohd Sani Mohd Hassan yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-10 pula mengesahkan tertuduh, Jenain Subi mahir menggunakan senjata.

Ini dapat dilihat berdasarkan markah cemerlang yang diperoleh Jenain semasa mengikuti latihan menembak pada 13 hingga 15 Oktober 2009.

“Jenain memperoleh markah 90 daripada markah penuh 100 untuk senjata sub-machine gun HK MP5 manakala bagi senjata pistol, dia mendapat markah sebanyak 70,” katanya.

Penyelia Kereta Peronda di balai sama, Sarjan Jamaluddin Alias, 50, pula mengesahkan bahawa menjadi kewajipan untuk setiap kereta peronda membawa senjata sub-machine gun HK MP5.

“Setiap kereta peronda diberikan kebenaran untuk membawa senjata dan jika tidak membawa senjata, ia adalah satu pelanggaran arahan,” katanya selaku saksi pendakwaan kelapan.

Beliau yang bertugas mengaturkan jadual rondaan juga memberitahu Jenain ialah seorang anggota yang bertanggungjawab dan tidak mempunyai rekod disiplin.

Jenain sedang dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, pada antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Ahmad mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Barisan pembelaan pula diwakili peguam-peguam M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung Khamis.

Artikel Lain