suria

Lelaki Dipenjara 10 Tahun Bunuh Remaja

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang lelaki yang mengaku salah atas tuduhan menyebabkan kecederaan dan kematian seorang remaja lelaki tahun lepas.

Selain Azlan Affendy Abdul Samat, 23, tiga lagi tertuduh Roslan Rashid, 23, Mohd Johari Abu Samah, 27, dan Mohd Hamdan Zainal, 23, dipenjara empat tahun selepas mereka turut mengaku salah terhadap tuduhan yang sama.

Pesuruhjaya Kehakiman, Choong Siew Khim memerintahkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkapan pada 15 Oktober 2009.

Sementara itu, seorang lagi yang dituduh iaitu adik kepada Azlan Affendy, akan ditentukan hukumannya pada 26 Oktober ini bagi membolehkan mahkamah meneliti laporan akhlak memandangkan semasa kejadian, dia masih berusia 19 tahun.

Dia ditempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak Sungai Petani kerana usianya masih di bawah 21 tahun.

Kesemua tertuduh pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan bagi kesalahan membunuh yang membawa hukuman mati sebelum Timbalan Pendakwa Raya Azizah Ahmad, meminda pertuduhan kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada Azlan Affendy dan Seksyen 304(b) kanun yang sama kepada keempat-empat tertuduh.

Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian tanpa niat yang dilakukan secara berkumpulan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa, Andrew Chow Kin Mun, 18, kira-kira pukul 12.30 pagi, 14 Oktober 2009 di Simpang Tiga Lebuh Meru Indah, Gerbang Meru Indah, di sini.

Mereka ditahan polis di sebuah bilik hotel di Klang, Selangor sehari selepas kejadian tersebut.

Peguam Datuk Hazman Ahmad mengetuai pasukan lima peguam pembelaan.

Sementara itu berlaku sedikit kekecohan di luar mahkamah apabila berpuluh-puluh rakan tertuduh cuba menghalang jurufoto media menjalankan tugas. - BERNAMA

Artikel Lain