suria

Bina Generasi Yang Disesuaikan Kepada Pemodenan - Najib

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata generasi yang disesuaikan kepada pemodenan perlu diwujudkan bagi membina sebuah dunia yang lebih baik, lengkap dengan perpaduan lebih jitu dan persefahaman.

Beliau berkata selama ini ekstremis dilihat berleluasa, menenggelamkan suara kesederhanaan, dan kini perkara ini perlu diubah.

"Bagi saya perjuangan sebenar hari ini bukan perjuangan mengenai agama atau bangsa, tapi perjuangan antara kumpulan ekstremis dan sederhana," katanya pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Wanita-wanita Pertama 2010 dengan tema "Anak Hari ini, Pemimpin Hari Esok", di Seri Perdana di sini hari ini.

Turut hadir ialah isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung sidang kemuncak itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Najib berkata tumpuan istimewa perlu diberikan kepada bidang pendidikan tidak rasmi dan pembentukan pandangan mengenai dunia di kalangan kanak-kanak, selain pelajaran dan penjagaan mereka.

Menurutnya tumpuan juga perlu diberikan kepada cabaran yang dihadapi dalam memastikan setiap kanak-kanak diberikan peluang yang adil dalam mendapatkan makanan berkhasiat, kasih sayang dan perlindungan.

Beliau berkata ini kerana walaupun fokus diberikan kepada pendidikan, pedagogi, dan kesejahteraan fizikal; pandangan dunia di mata kanak-kanak masih boleh dipengaruhi oleh perkara-perkara yang tidak dipelajarinya dari buku-buku dan bilik darjah.

"Adakalanya perilaku kanak-kanak dibentuk menerusi pemerhatiannya terhadap perkara-perkara yang dilakukan dan diperkatakan oleh ibu bapa. Malah apa jua ungkapan ringkas atau tutur kata mudah boleh memberikan kesan kepada pandangan kanak-kanak terhadap orang ramai dan dunia di sekelilingnya," katanya.

"Inilah langkah 'programming' yang sedang berlaku, adakalanya tanpa disedari. Unsur-unsur ini perlu diberi perhatian teliti jika hendak dikaji cara terbaik dalam mewujudkan pemimpin yang sederhana dan waras hari esok, yang bebas dari prejudis dan berfikiran sempit," tambahnya.

Najib berkata walau apa bidang dan disiplin seseorang pemimpin diwujudkan oleh mana-mana negara, pemimpin itu perlu memliki syarat-syarat yang dikaitkan dengan kejayaan dalam kehidupan.

Beliau berkata ia termasuk tahap yang betul dalam aspek tekad, motivasi, keyakinan diri, ketekunan, daya tahan dan juga sikap positif, yang akan menjadikan mereka yang terbaik dalam bidang masing-masing, di kelompok pemimpin-pemimpin seangkatan.

"Ini adalah sebahagian daripada pembangunan modal insan yang amat penting dalam melonjakkan negara ke tahap baru pertumbuhan dan pembangunannya," tambahnya.

Najib berkata tiada kumpulan yang lebih baik daripada kumpulan Wanita-wanita Pertama yang dapat memainkan peranan memperjuangkan kanak-kanak, memandangkan mereka boleh dianggap sebagai ikon keibuan.

Beliau berkata Permata misalnya, adalah satu contoh terbaik mengenai bagaimana inisiatif seorang isteri pemimpin boleh mendapat sokongan dan momentum disebabkan meritnya.

"Ia bermula dengan kumpulan profesional wanita yang berbincang dengan isteri saya, dan berkongsi pandangan mengenai apa cara terbaik yang boleh dilaksanakan untuk memberi manfaat kepada generasi muda, dan Permata kini memiliki 500 pusat di seluruh negara, membekalkan pendekatan baru kepada pendidikan awal dan penjagaan buat kawasan pedalaman dan bandar," katanya.

Najib juga berharap selain berkongsi pandangan dan bertukar idea di sidang kemuncak ini, usaha bersama perlu dilaksanakan antara negara, dengan mengambil mengambil peluang daripada kekuatan dan keupayaan negara sekutu. - BERNAMA

Artikel Lain