suria

Rasuah Polis RM100,000: Dua Beradik, Bapa Saudara Didakwa

SHAH ALAM: Dua beradik dan bapa saudara mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Khamis, atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM100,000 kepada seorang pegawai polis bahagian narkotik, hujung September lalu. Wan Muhammad Azlan Wan Mahamod, 22, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu cuba menawarkan dan telah memberikan suapan dalam bentuk wang tunai kepada Inspektor V. Mohana Sundaram.

Tertuduh yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu didakwa menawarkan suapan itu pada pukul 7.30 malam, 27 September lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, dekat sini.

Manakala bagi kesalahan memberi pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu menerusi bapa saudaranya, Mohd Kamal Mohd Zin pada pukul 1.45 petang, keesokan harinya di tempat yang sama.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan supaya Mohana Sundaram tidak menyerahkan Wan Muhammad Azlan kepada Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan, untuk siasatan lanjut berhubung pengakuannya sebagai pengedar pil kuda di negeri tersebut.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan RM80,000 yang ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fieza Fazlin Fandi atas alasan dia tidak bekerja.

“Saya hanya mampu membayar RM20,000 dan emak saya akan menjadi penjamin. Saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak,” katanya dan menambah tujuan dia ke Selangor adalah untuk mencari kerja.

Hakim Mat Ghani Abdullah bagaimanapun menetapkan jaminan pada jumlah RM60,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan selepas berpendapat tertuduh adalah orang yang mempunyai wang.

Sementara itu, Mohd Kamal, 39, dan adik kepada tertuduh, Wan Muhammad Azim, 20, juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan tertuduh untuk memberikan rasuah itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada waktu dan tempat serta bagi tujuan yang sama dengan Wan Muhammad Azlan.

Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan megikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 17 (b) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Mohd Kamal yang beralamat di Wakaf Baru, Tumpat, Kelantan merayu supaya jaminan yang rendah diberikan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya boleh menjelaskan RM5,000.

Wan Muhammad Azim pula memberitahu, dia hanya berkemampuan pada jumlah RM3,000 kerana masih menuntut di sebuah kolej.

Mat Ghani kemudiannya menetapkan jaminan pada jumlah RM30,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh.

Beliau juga menetapkan sebutan semula semua kes pada 15 November ini untuk lantikan peguam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain