suria

Bekas Pengurus Stor Didakwa Atas Tuduhan Merompak

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan merompak seorang pengurus sebuah kedai kopi elit dengan menggunakan anak lesung batu dan skru driver, awal bulan ini.

Daniel Adam Mohamad Ghani, 33, didakwa merompak wang tunai RM7,400 milik Patih Purwasih Saprudin, 22, sehingga mendatangkan kecederaan di kepala mangsa di Starbucks Plaza Low Yat, Dang Wangi di sini pada 7.30 pagi, 5 September lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon wang jaminan yang minimum dengan alasan dia telah memberi kerjasama sepanjang siasatan terhadapnya dijalankan.

"Saya tidak mempunyai wang sebanyak itu kerana saya sudah tidak bekerja dan saya perlu bekerja untuk menanggung dua anak dan mendapatkan khidmat guaman," katanya.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Selepas hakim membuat keputusan itu, secara tiba-tiba adik perempuan tertuduh bangun dan memohon kepada mahkamah untuk mengurangkan wang jaminan yang dikenakan terhadap abangnya.

"Saya adalah penjamin dan hanya bawa RM3,000 serta terpaksa datang dari Ipoh dengan manaiki bas untuk berjumpa dengan abang... selepas abang saya bercerai dengan bekas isterinya, saya yang menjaga dua anaknya dan mak kami yang menghidap sakit kanser," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Kamar menolak permohonan itu kerana wang jaminan yang ditawarkan adalah wajar dengan kesalahan dilakukan dan menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain