suria

CCTV Di Lebuhraya PLUS Bantu Lancar Perjalanan Kenderaan

KUALA LUMPUR: Sistem pemantauan kawalan trafik menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) terbukti berjaya melancarkan perjalanan kenderaan terutama pada musim perayaan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Selain itu, beliau turut memuji usaha pengendali lebuh raya itu, PLUS Expressways Berhad, memperkenalkan cadangan waktu perjalanan bagi memudahkan pengguna jalan raya merancang perjalanan pulang ke kampung masing-masing sempena perayaan Aidilfitri.

"Bagaimanapun, sikap pengguna jalan raya turut memainkan peranan dalam memastikan kelancaran pemanduan mereka ketika menuju destinasi masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat kawalan trafik PLUS di bangunan Persada PLUS, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Nik Airina Jaffar berkata, PLUS kini mempunyai 1,400 buah CCTV di sepanjang lebuh raya dan sistem tersebut akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Selain itu, katanya, cadangan waktu perjalanan yang diperkenalkan pada 2007 mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna lebuh raya itu.

Menurutnya hanya 30 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan jadual berkenaan pada 2007 dan jumlah itu meningkat kepada 50 peratus pada dua tahun berikutnya.

"Kami harap bilangan pengguna menggunakan jadual perjalanan itu meningkat pada tahun ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain