suria

Apa Salah Mereka...

Apa Salah Mereka...

BEBERAPA hari yang lalu, penulis telah menerima sepucuk surat daripada seorang pembaca yang merupakan seorang pelajar perempuan di tingkat empat sebuah sekolah kluster di Petaling Jaya. Kandungan suratnya sangat menganggu fikiran.

Pelajar ini meminta jasa baik penulis agar memaparkan keresahan perasaannya dan juga kawan-kawannya di dalam kolum ini. Dia memulakan ceritanya dengan menyatakan betapa mereka terdiri daripada murid-murid yang sangat ceria, aktif dan sangat komited di dalam kelas.

Katanya lagi, walaupun ada kalanya mereka kelihatan nakal dan suka mengusik tetapi mereka sentiasa menanti setiap pembelajaran di dalam kelas dengan penuh tekun dan minat.

“Kami semua sedar matapelajaran yang paling sukar ialah matematik tambahan tetapi kami semua menanti kelas matematik tambahan dengan penuh ceria kerana guru matematik kami adalah seorang yang ceria dan penyayang.

“Tetapi segala-galanya berubah sebaik sahaja guru matematik tambahan kami bersalin. Selepas beliau kembali daripada cuti bersalin sikap beliau sama sekali berubah. Beliau tidak lagi ceria. Beliau sentiasa marah-marah. Beliau menjadi sangat sarkastik.

“Akibatnya kami semua menerima tempelaknya. Kami menjadi tertekan, stres dan gelisah setiap kali tiba waktu kelas matematik tambahan. Ada kalanya kami menangis mengenangkan nasib malang yang menimpa kami. Kami tidak tahu di mana silapnya. Mengapa guru kami tiba-tiba berubah sikap.

“Hendak bertanya kami serba salah maklum sajalah kami ni murid. Kesimpulannya kami kehilangan seorang guru yang suatu ketika dahulu sangat ceria, penyayang dan pengasih dan kehilangan tersebut telah menjejas serta menganggu perjalanan hidup kami sebagai pelajar. Dengan siapa hendak kami mengadu...,” tulis pelajar itu dengan penuh perasaan.

Dia mengakhiri catatannya dengan satu ayat yang sangat menganggu fikiran penulis...”Apa salah kami diperlakukan sebegitu rupa...”

Penulis berasa simpati dengan nasib yang telah menimpa pelajar ini dan juga rakan-rakan sekelasnya yang terpaksa menanggung kesan sampingan akibat kemurungan yang menimpa guru mereka. Mereka menjadi resah dan gelisah kerana ia menjejaskan pembelajaran matapelajaran matematik tambahan yang kita semua sudah sedia maklum satu subjek yang sangat susah dan memerlukan konsentrasi yang kuat.

Tetapi kini masa depan mereka terjejas kerana masalah sampingan yang dihadapi oleh guru berkenaan. Sebahagian besar masa anak-anak kita dihabiskan di sekolah. Ibu bapa sudah pastinya berasa bimbang jika keadaan seperti ini menjejas pembelajaran anak-anak.

Penulis tidak pasti apakah kes seperti ini merupakan satu kes yang terpencil atau turut sama dihadapi oleh sekolah-sekolah lain. Nasihat penulis ialah, kes ini walau bagaimana sekalipun terpencil sifatnya perlu dibawa ke pengetahuan pengetua.

Cara terbaik ialah untuk ibu bapa murid-murid yang terlibat itu sendiri membawa perkara ini ke pengetahuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Demi masa depan mereka, inilah platform terbaik yang dapat menyelesaikan masalah tersebut.

*****

Lebuh raya ‘jem’ versi Malaysia

Pada saat dan ketika ini, penulis pasti semua orang telah memperkatakan tentang betapa pentingnya orang ramai yang dalam perjalanan pulang untuk berhari raya di kampung halaman masing-masing memandu dengan perlahan dan selamat. Malah Perdana Menteri pun turut mengingatkan rakyatnya agar tidak menukar lebuh raya menjadi sungai maut.

Tetapi yang penulis hendak tekankan di sini ialah satu lagi tabiat buruk pemandu Malaysia yang telah ‘mencipta jem’ versi Malaysia. Pernah dalam satu musim perayaan ketika hendak pulang semula ke ibu kota, penulis tersangkut selama berjam-jam di lebuh raya Utara-Selatan sehinggakan anak penulis terpaksa membuang air kecil di dalam botol air mineral.

Selepas tersangkut selama hampir tiga jam di dalam kesesakan tersebut, akhirnya penulis pun tibalah di tempat yang menjadi punca kesesakan itu.

Penulis menjadi hairan kerana di situ tidak ada pun kemalangan maut atau kemalangan yang menjejaskan perjalanan para pemandu di lebuh raya berkenaan. Yang penulis nampak hanyalah sebuah kereta proton saga yang berhenti di laluan kecemasan dengan bonet hadapannya terangkat dan enjin berasap.

Pemandu kereta berkenaan kelihatan sedang santai sambil menghisap rokok kretek. Rupa-rupanya yang menyebabkan kesesakan sehingga berpuluh-puluh kilometer panjang itu berpunca daripada sikap ‘kepochi’ rakyat Malaysia yang memperlahankan kenderaan mereka sebaik sahaja tiba di tempat kejadian kerana hendak sibuk menengok apa sebenarnya yang terjadi.

Yang lebih menyedihkan ialah tidak ada siapa pun yang benar-benar berhenti di bahu jalan untuk membantu mangsa. Mereka sekadar memperlahankan kenderaan kerana sikap ‘menyibuk’ mereka dan selepas itu terus memecut semula. Mereka tidak sedar, perbuatan mereka itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas berpuluh-puluh kilometer panjangnya dan menganggu masa perjalanan orang lain.

Pada satu insiden yang lain pula, kesesakan yang sama berlaku akibat para pemandu memperlahankan kenderaan untuk melihat kenapa terdapat sebuah kereta peronda polis lebuh raya dengan lampu biru berputar-putar menyala kelihatan ‘tersadai’ di tepi lebuh raya.

Sebenarnya, kereta peronda polis itu tidak menahan sesiapa pun. Mereka hanya berhenti mungkin untuk memeriksa sesuatu atau sedang menjalankan rondaan biasa. Malangnya, orang menjadi takut tidak tentu pasal dan akhirnya tindak-tanduk mereka itu telah menyebabkan pergerakan kereta lain di belakang turut menjadi perlahan dan menyebabkan lebuh raya sesak berkilometer panjangnya dan mereka yang berada di dalam kereta terpaksa menanggung atau menahan seksa kerana terpaksa ‘menunggu’ berjam-jam lamanya di dalam kereta.

Apabila ini berlaku, ada lebuh raya pun sama seperti tidak ada lebuh raya.

Artikel Berikut

Artikel Lain