suria

Peniaga Terkejut Dapati Kenderaan Bomba Yang Diekori Padam Kebakaran Rumah Sendiri

KOTA BAHARU: Tanda tanya seorang peniaga roti canai yang mengekori sebuah kenderaan bomba terjawab selepas mendapati destinasi pasukan penyelamat itu ialah flet kediamannya di Jalan Bayam di sini.

Mohd Ramli Abd Rahman, 33, terkejut apabila mendapati kedatangan bomba itu untuk memadamkan kebakaran di rumahnya sendiri.

Katanya beliau langsung tidak menyangka kelibat kenderaan bomba yang diekorinya secara kebetulan selepas pulang menunaikan solat Jumaat petang tadi membawa petanda buruk.

Akibat kejadian itu, beliau dan keluarga kini tinggal sehelai sepinggang.

Bagaimanapun, katanya, nasib masih menyebelahinya kerana ketika kebakaran itu isteri dan anaknya tiada di rumah biarpun segala persiapan menyambut kedatangan Aidilfitri turut musnah sekelip mata.

"Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.30 petang tadi ketika saya keluar ke masjid untuk solat Jumaat.

"Sebaik selesai dan dalam perjalanan pulang dari masjid saya ternampak sebuah kenderaan bomba tergesa-gesa masuk ke kawasan perumahan saya menyebabkan hati tertanya-tanya tetapi tidak terlintas apa-apa ketika itu," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau bagaimanapun berkata sebaik melihat kenderaan bomba itu berhenti di kawasan kediamannya beliau mula merasa tidak sedap hati sebelum terkejut apabila melihat asap dan api yang keluar di bahagian tingkap rumahnya di tingkat satu itu.

"Ketika itu saya lihat api sedang marak membakar..saya cuba untuk masuk dengan harapan dapat menyelamatkan barangan atau dokumen penting dan juga persiapan raya kami sekeluarga tetapi dihalang oleh api yang menjulang tinggi dan nasihat dari jiran," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Wan Asri Wan Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.52 petang tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Bagaimanapun sebaik tiba api telah marak membakar keseluruhan sebuah kediaman di flet lima tingkat itu menyebabkan tiada barangan dapat diselamatkan.

"Kami mengambil masa kira-kira sepuluh minit untuk memadamkan kebakaran itu dari merebak ke kediaman lain dan (usaha itu) agak sukar kerana jarak kediaman yang agak rapat," katanya.

Beliau berkata seramai 18 anggota membabitkan tiga jentera dari balai bomba berkenaan dihantar ke lokasi kejadian dan pihaknya masih mengenalpasti punca dan jumlah kerugian. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain