suria

Dua Dipenjara 30 dan 38 Tahun Bagi Kesalahan Rogol, Culik, Samun

SHAH ALAM: Dua juruelektrik, masing-masing dihukum penjara 30 tahun dan 38 tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan rogol, rompak, culik, samun dan peras ugut, empat tahun yang lalu. Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob memerintahkan hukuman terhadap Kalidas Subramaniam, 23, dari Sungai Buloh dan R. Shasidaran, 26, dari Seri Kembangan berjalan serentak dari tarikh tangkap, masing-masing pada 29 April dan 10 Okt, 2006.

Oleh yang demikian Kalidas hanya perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun dengan dua sebatan manakala Shasidaram perlu menjalani hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan.

Kedua-dua tertuduh yang merupakan sahabat mengaku salah merogol seorang gadis berumur 17 tahun di dalam kereta Kancil, di Kawasan Bkt Pencawang Lektrik, Batu 11, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, di antara 5.40 pagi hingga 6.40 pagi, pada 17 Feb, 2006.

Untuk kesalahan itu, Kalidas dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan manakala Shasidaran penjara 11 tahun dan dua sebatan.

Kalidas dihukum penjara lapan tahun manakala Shasidaran dihukum penjara sembilan tahun bagi pertuduhan kedua iaitu merompak seorang pemandu lori, Lo Kwan Peng, 49, menggunakan sebilah parang, di Simpang Tiga, Perusahaan Rahman Putra di hadapan Kompleks Hong Leong Yamaha di Sungai Buloh di antara 5.30 pagi hingga 7 pagi pada tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat iaitu menculik anak Lo berumur 12 tahun dan menculik seorang lagi pelajar perempuan 17 tahun, di tempat dan masa yang sama, Kalidas dan Shasidaran masing-masing dihukum penjara lapan tahun dan 10 tahun.

Shasidaran turut dihukum penjara empat tahun bagi pertuduhan mencabul kehormatan anak Lo, di tempat dan masa yang sama.

Kalidas dan Shasidaran juga masing-masing dihukum penjara empat tahun dan lima tahun bagi pertuduhan merompak seorang peniaga kedai kopi Chap How Min, 51, di tepi jalan sebelah kolam pancing ikan di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh di antara 5.20 pagi hingga 7 pagi pada 17 Feb, 2006.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam S. S. Dev manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain