suria

Empat Tokoh Terima Anugerah Tokoh Malaysia

KUALA LUMPUR: Seramai empat tokoh akan menerima Anugerah Tokoh Malaysia pada sambutan Hari Malaysia 16 September ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Rais berkata dua tokoh akan dipilih dari Semenanjung dan masing-masing satu dari Sabah dan Sarawak oleh jawatankuasa berkenaan.

"Kita sedang cari tokoh-tokoh dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk menerima anugerah Tokoh Malaysia pada hari tersebut," katanya kepada pemberita di kementerian, di sini pada Rabu.

Rais berkata anugerah ini adalah sesuatu yang boleh dianggap sebagai pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan dan rekod perjuangan seseorang berkaitan dengan negara ini.

Katanya keempat-empat tokoh ini akan menerima anugerah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau menyampaikan ucapan pada sambutan yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.

Rais berkata beliau menjangkakan sambutan Hari Malaysia ini berbeza dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 peringkat nasional yang diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

"Keadaan (sambutan Hari Malaysia) pun seperti suasana di sesebuah negeri dan bukan (seperti) di peringkat Persekutuan kesemuanya," kata Rais.

Bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi", sambutan Hari Kemerdekaan kali ini memuatkan pengisian agenda yang berbeza dari tahun-tahun lepas apabila tiada acara perbarisan dan perarakan bagi menghormati bulan Ramadan.

Lebih 10,000 orang menghadiri sambutan iti.

"Jadi mungkin Jawatankuasa (sambutan Hari Malaysia) akan menimbang beberapa program unik yang boleh menarik perhatian kita," katanya.

Rais berkata Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya hari ini menyampaikan ucapan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa perayaan kemerdekaan tahun ini dan memberi penghargaan tinggi kepada penglibatan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menjayakan acara-acara yang diadakan.

"Dan (Kabinet) berharap semua falsafah dan juga dasar kerajaan seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia terus dipanjangkan dan difahami rakyat," kata Rais.

Katanya kejayaan sambutan di Bukit Jalil itu adalah berdasarkan kepada gagasan 1Malaysia dan kandungan semua segmen dasar berkaitan dengan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Pada tahun lepas ketika mengumumkan cuti umum untuk sambutan Hari Malaysia mulai tahun ini, Najib berkata bahawa sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan akan perjuangan mencapai kemerdekaan daripada penjajahan, yang dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia.

Hari Malaysia diraikan pada 16 Sept setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia,yang menyaksikan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain