suria

Kelindan Lori Maut, Pemandu Parah Dalam Kemalangan

KUALA LUMPUR: Seorang kelindan lori maut manakala pemandunya cedera parah dalam satu kemalangan di KM 451.4 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur dekat Rawang pagi ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor Supritendan (Supt) Che Hussin Omar berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, Sin Kwai Chin, 57, yang berasal dari Ipoh, Perak, mati di tempat kejadian selepas lori yang dinaikinya merempuh sebuah treler.

Beliau berkata mangsa yang tersepit di tempat duduknya maut akibat kecederaan parah di kepala selain patah kaki manakala pemandu yang dikenali sebagai Subramaniam, 32, cedera parah.

Katanya, lori yang dipandu Subramaniam merempuh belakang treler tersebut yang membawa muatan cermin, tetapi pemandu treler berkenaan, S.Kartik, 22, yang berasal dari Perak tidak mengalami sebarang kecederaan.

Che Hussin memberitahu Bernama bahawa mayat Sin dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala Subramaniam dimasukkan ke hospital sama dan dilaporkan koma. - BERNAMA

Artikel Lain