suria

Wakil Dua Kampung Serah Memorandum Minta Kerajaan Negeri Tutup Lombong Pasir

SHAH ALAM: Wakil dua buah kampung pada Rabu menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta supaya lombong pasir Kumpulan Semesta Sdn Bhd di kampung mereka ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan Kampung Bestari Jaya Yeop Mat Sanip dan wakil penduduk Kampung Kambing Susu, Hulu Selangor Dr Ramlan Shaari menyerahkan memorandum itu di Pejabat Menteri Besar di sini, Rabu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu, Yeop berkata 2,500 penduduk Kampung Bestari Jaya khuatir kegiatan melombong pasir oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, yang terletak berhampiran kawasan rumah mereka akan menjejaskan struktur tapak rumah mereka.

Dr Ramlan pula berkata penduduk kampung mahu aktiviti melombong pasir yang kini diberhentikan sementara waktu atas arahan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor, dihentikan terus. Katanya kegiatan itu sebelum ini telah merosakkan kebun kelapa sawit dan kolam ikan berhampiran sungai itu.

Beliau berkata lombong itu ditutup sementara bagi membaiki masalah ban di Sungai Selangor yang pecah.

Dr Ramlan yang juga Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Pengusaha-pengusaha Pasir Melayu juga kesal kerana memorandum itu hanya dapat diserahkan kepada penyambut tetamu di Pejabat Menteri Besar kerana tiada pegawai untuk menerimanya pada masa itu. - BERNAMA

Artikel Lain