suria

Bantuan Keperluan Harian, Pakaian Raya Dapat Sambutan Hangat Di Khan Younis

GAZA CITY (Palestin: Bantuan keperluan bekalan harian serta pakaian raya Misi Kemanusiaan Ke Gaza Kelab Putera 1Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia mendapat sambutan hangat di Khan Younis.

Seramai 300 ketua keluarga, termasuk ibu tunggal, di sekitar kawasan itu menerima bantuan kemanusiaan itu di Al-Amal City Center of Ability Development pada satu majlis yang diadakan sejak pukul 10.45 pagi Ahad (waktu tempatan).

Bagaimanapun keadaan yang berjalan lancar terganggu apabila sekumpulan individu yang tidak mendaftar dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) yang berada di luar kawasan bantuan datang untuk mendapatkan sumbangan itu.

Selain itu semasa penyampaian pakaian raya kepada 500 kanak-kanak Palestin, ibu bapa berasak-asak untuk memastikan anak mereka mendapat sepasang baju Melayu ataupun baju kurung.

Keadaan itu menyebabkan beberapa sukarelawan Malaysia, termasuk penyanyi Fauziah Latiff, yang bertugas mengatur kanak-kanak yang masuk ke tempat bantuan diedarkan, terpaksa meninggikan suara meminta supaya ibu bapa bertenang dan bersabar.

Sementara itu pada masa yang sama, sekumpulan sukarelawan Malaysia diketuai Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim melawat dan menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak kurang upaya dan trauma di Hospital Khan Younis.

Seramai 67 sukarelawan misi kemanusiaan Malaysia terlibat dalam operasi menyampaikan bantuan kemanusiaan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain