suria

Pelancong Timur Tengah Ke Langkawi Meningkat 20 Peratus

LANGKAWI: Kehadiran pelancong dari negara Timur Tengah di Langkawi mencatatkan peningkatan 20 peratus setakat ini dan dijangka melepasi pencapaian 89,000 orang yang dicatat sepanjang tahun lepas. Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah Pishol Ishak berkata anggaran itu berdasarkan tempahan bilik hotel yang meningkat khususnya pada Julai dan bulan ini.

"Peningkatan itu hasil promosi yang banyak dibuat di sana seperti 'Arab Travel Mart' di Dubai dan program 'roadshow' ke beberapa negara Timur Tengah seperti Kuwait dan Qatar pada Mei lepas," katanya, di sini Khamis.

Pishol berkata antara produk pelancongan yang menjadi tumpuan pelawat Timur Tengah ialah melihat keindahan pulau dari udara menerusi perkhidmatan helikopter serta pakej bulan madu dan pelayaran. "Mereka juga turut melawat Taman Agro Mardi Langkawi untuk menikmati pelbagai buahan tempatan seperti rambutan, betik, nenas, limau, jambu dan buah naga," katanya.

Selain itu katanya, kebolehan bertutur bahasa Arab pada kalangan pemandu teksi turut menjadi daya tarikan pelancong negara Timur Tengah untuk ke Langkawi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain