Ibu Mengandung Bersama Tiga Anak Maut Dalam Nahas Jalan Raya - Semasa | mStar

Ibu Mengandung Bersama Tiga Anak Maut Dalam Nahas Jalan Raya

LAHAD DATU: Seorang ibu mengandung enam bulan bersama tiga anaknya maut selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori treler di Kilometer 32 Jalan Lahad Datu-Sandakan, Isnin.

Ibu malang itu dikenali sebagai Maslyati Bahjuri, 36, seorang guru, tiga anaknya, Muhammad Ar Rahman Samsir, 10, Nurul Fatin Shahira Samsir, 9, dan Putri Shaluna Maya Samsir, setahun 10 bulan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Shamsudin Mat berkata nahas itu berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika empat beranak itu dalam perjalanan balik ke Lahad Datu dari Sandakan.

Katanya kenderaan yang dipandu mangsa dikatakan telah terbabas lalu memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori treler.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, kenderaan dinaiki mangsa remuk teruk pada bahagian sebelah kiri mengakibatkan dua daripada anak mangsa iaitu Muhammad dan Nurul Fatin yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar dari kenderaan, manakala Maslyati dan seorang lagi anaknya tersepit di dalam kereta.

Menurut Shamsudin kesemua mangsa mati di tempat kejadian dan dua mangsa yang tersepit di dalam kereta dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat dari Lahad Datu.

"Difahamkan ketika kejadian, suami mangsa tiada bersama mereka kerana memandu sebuah kenderaan lain yang juga dalam perjalanan sama balik ke Lahad Datu," katanya.

Beliau berkata mayat kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

Katanya pemandu lori treler itu yang berusia 42 tahun tidak mengalami kecederaan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas kenyataannya diambil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Hubungan Dengan Najib Baik - Muhyiddin

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain