suria

Kanak-kanak Tiga Tahun Dilarikan Ditemui Di Batu Gajah

IPOH: Seorang kanak-kanak yang dilarikan oleh seorang lelaki bersama dengan kereta, yang ditinggalkan oleh ibunya di kawasan perumahan di Menglembu, berjaya ditemui di Batu Gajah malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Najib Mohamad berkata kejadian berlaku pada pukul 9.45 malam ketika kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu bersama ibunya pulang ke rumah di Taman Sepakat, Menglembu selepas menziarahi saudaranya.

"Ketika wanita itu turun dari kereta untuk membuka pintu pagar, anaknya ditinggalkan di dalam kereta dengan keadaan enjin masih hidup serta pintu sebelah pemandu terbuka," katanya ketika dihubungi, Isnin.

Najib berkata pada masa sama seorang lelaki tiba-tiba meluru masuk ke dalam kereta itu dan melarikan anak mangsa ke arah Batu Gajah.

Ibu mangsa, yang terkejut, kemudian bergegas ke Balai Polis Menglembu untuk membuat laporan.

Najib berkata selepas menerima laporan, polis bertindak memburu suspek dan berjaya mengesannya apabila telefon milik mangsa, yang berada di dalam kereta, dijawab oleh suspek.

Suspek kemudian menyerahkan kanak-kanak itu kepada seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Batu Gajah lalu melarikan diri dengan kereta mangsa.

Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah oleh seorang lelaki pada pukul 10.30 malam, yang selepas itu diserahkan kepada ibunya pada pukul 12 tengah malam tanpa sebarang kecederaan.

Polis masih memburu suspek yang melarikan kereta Perodua Myvi berwarna hijau dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di nombor telefon 05-3662222 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat sebagai kes culik mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Akta Penculikan 1961 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kata Najib.

Sebelum ini, dua kes berlaku iaitu masing-masing satu di Kuala Kangsar dan satu di sini.

Dalam kejadian di Kuala Kangsar pada 26 Julai, dua beradik berusia 16 dan enam tahun yang berada dalam kereta bapanya, dilarikan tiga lelaki sebelum ditinggalkan di tepi jalan kira kira 25 kilometer dari Kuala Kangsar.

Kedua-duanya ditemui dalam keadaan selamat manakala kereta bapanya dijumpai di Kelantan.

Kes kedua berlaku di sini pada 4 Ogos, apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, yang sedang dalam perjalan pulang selepas selesai mangaji di rumah jirannya, dilarikan seorang lelaki dengan sebuah kereta di Taman Meru selepas dua jam diculik.

Mangsa ditemui di Taman Kinta, Gopeng oleh seorang lelaki yang menghantarnya ke Balai Polis Gopeng. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain