suria

Dua Rakan Maut Selepas Kereta Bertembung Lori Di Pekan

PEKAN: Dua rakan maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa alat ganti motosikal di Kilometer 54, Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara Pekan awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku pada pukul 2.15 pagi tadi itu meragut nyawa Muhamad Halif Hamzah, 25, dari Kampung Rhu Batik, Dungun, Terengganu dan Ahmad Fuad Mohamad, 26, dari Kampung Gelugor, Kerteh, Terengganu yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata kedua-dua mangsa yang bekerja di Singapura dan tinggal di Gelang Patah, Johor Bharu dalam perjalanan pulang ke Dungun, Terengganu untuk menyambut awal Ramadan bersama keluarga.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Muhamad Halif dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori membawa muatan alat ganti motosikal.

Yahaya berkata pertembungan itu menyebabakan dua rakan itu tersepit dan mendapat kecederaan parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori yang berusia 40-an itu turut mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk rawatan lanjut.

Menurutnya mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing pagi tadi.

Yahaya berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Lain