suria

Polis Cedera Dirempuh Treler

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis mengalami kecederaan parah di bahagian kepala apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah treler ketika beliau sedang mengejar seorang suspek yang bersenjatakan parang berhampiran bulatan di Segambut pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.30 pagi semasa L/Kpl Nik Hafizie Nik Din, yang berumur dalam lingkungan 20an, sedang mengadakan sekatan jalanraya di sekitar kawasan itu.

Beliau berkata apabila Nik Hafizie ternampak seorang lelaki bersenjatakan parang yang menunggang motosikal cuba mengelak sekatan jalan raya, beliau terus mengejar suspek.

"Ketika itu suspek berjaya mengelak sebuah treler namun Nik Hafizie gagal, lalu dirempuh hingga mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah di kepala," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang juga seorang peninju Polis Diraja Malaysia (PDRM), kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam keadaan kritikal.

Sementara itu dalam kes berasingan, Zakaria berkata dua lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah, dalam dua operasi berasingan dua hari lepas.

Beliau berkata suspek pertama yang berumur 26 tahun ditahan ketika sedang cuba membawa keluar barang yang dicuri selepas memecah masuk sebuah rumah milik seorang suri rumah di Kepong, tengah hari pada 4 Ogos lepas.

"Suspek ditahan ketika sedang bersembunyi di bilik utama rumah itu dan polis menemui barang-barang curi yang dipercayai milik tuan rumah berkenaan seperti laptop, sebuah speker dan juga kunci rumah selain 150 biji pil Eramin 5 milik suspek," katanya.

Zakaria berkata, ketika kejadian suspek datang dengan menaiki sebuah kereta dipercayai kereta curi jenis Naza Ria dan siasatan lanjut mendapati suspek baru sahaja dijamin dua minggu atas kes pecah rumah di Cheras.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai seorang lagi rakan yang dikehendaki polis kerana terlibat dengan kes pecah rumah di Kepong baru-baru ini, dan rakan suspek yang berumur 37 tahun itu kemudiannya ditahan di Sungai Buloh kira-kira pukul 9 malam," katanya.

Menurut Zakaria, dengan penahanan kedua-dua lelaki itu, polis percaya 20 kes pecah rumah di sekitar Lembag Klang berjaya diselesaikan sehingga kini.

Artikel Berikut

Artikel Lain